The Reporter

Nur Humaira mengaku tak bersalah atas pertuduhan curi Kad ATM, keluarkan duit mak saudara untuk beli iPhone 14 Pro



Nur Humaira Shanuk Haziki, 21, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mencuri dan menggunakan wang milik ibu saudara tirinya untuk membeli iPhone 14 Pro.


Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadia Othman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini. 


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri kad debit milik mangsa berusia 26 tahun sebelum mengeluarkan wang sebanyak RM8,200 daripada akaun banknya di Regalia Residence, Chow Kit pada 23 hingga 24 Mac lalu. 


Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang itu yang dikeluarkan daripada akaun RHB tanpa pengetahuan mangsa di lokasi dan tarikh yang sama. 


Bagi pertuduhan pertama, Nur Humaira didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM150,000 atau kedua-duanya sakit. 


Untuk pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda. 


Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nom Phot Prackdit dan tertuduh tidak diwakili peguam. 


Bagaimanapun, tertuduh merayu agar mahkamah membenarkan dia diikat jamin dengan jumlah paling rendah. Tertuduh turut memberitahu bahawa dia akan dijamin oleh bapa saudaranya yang akan hadir untuk berbuat demikian. 


Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin dengan RM4,000 dengan dua penjamin dan perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap bulan. 


Mahkamah juga menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi pelantikan peguam dan serahan dokumen. 


Sumber: Harian Metro

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...