Sejak kebelakangan ini saya kerap sangat mendapat pertanyaan tentang masalah rumahtangga yang melibatkan tanda-tanda sihir pemisah. Antara masalah yang paling kerap berlaku ialah suami atau isteri yang bermasalah itu sudah tidak pulang ke rumah. Kalau pulang ke rumah pun, sudah lagi tidak bertegur sapa, bergurau senda dan sebagainya. Tinggal sebumbung tetapi bawa haluan masing-masing.
Jadi, dalam artikel kali ini saya nak kongsikan dengan anda bagaimanakah cara yang dapat diusahakan jika anda mengalami masalah begini. Tetapi perkongsian ini sesuai sekiranya pasangan anda masih tinggal serumah dengan anda. Jika sebaliknya, memang susah untuk dirawat.
Sebelum itu, saya nak kongsikan dengan anda apakah sihir pemisah ini dan bagaimana ianya dilakukan kepada mangsa.
Apakah Sihir Pemisah?
Sihir pemisah merupakan sihir yang seringkali dilakukan untuk memisahkan suami isteri atas sebab tertentu yang biasanya berkaitan dengan masalah peribadi, dengki, balas dendam, khianat dan sebagainya. Sihir ini juga dikenali sebagai Sihir Tafriq.
Sihir ini mempunyai kaitan dan persamaan dengan sihir pembenci. Tetapi sihir ini lebih memfokuskan kepada pasangan suami isteri agar rumahtangga mereka menjadi bermasalah di mana akhirnya akan membawa kepada perceraian.
Bagaimana sihir ini berlaku?
Ibnu Kathir menjelaskan bahawa pasangan suami isteri yang terkena sihir ini akan menjadikan mereka memandang wajah pasangan mereka kelihatan hodoh, buruk dan menakutkan, samada dari segi paras rupa atau tingkahlaku.
Dengan sebab itulah perangai mereka juga akan berubah. Apa sahaja yang dilakukan dirasakan tidak kena. Semuanya salah. Sedangkan sebelum ini, perkara sama yang dilakukan oleh pasangan dianggap biasa dan tidak ada salahnya.
Jadi bagaimana cara yang boleh anda lakukan untuk mengatasi masalah ini? Cara yang akan saya kongsikan dengan anda ini inshaaAllah berkesan dengan izin Allah. Syaratnya anda kena yakin dan keduanya mestilah dilakukan dengan konsisten sehinggalah sikap suami atau isteri yang disihir itu menjadi seperti normal semula.
Cara ini juga anda boleh lakukan sendiri di rumah. Tetapi macam yang saya sebutkan di atas bahawa kaedah ini hanya boleh dilakukan sekiranya pasangan anda masih tinggal di rumah bersama anda. Kaedahnya ialah hanya bacakan ayat-ayat ruqyah pada air dan makanan, berikan pada pasangan anda yang kena sihir tu.
Sekiranya anda tidak tahu yang mana satu ayat-ayat ruqyah, anda boleh download ebook yang saya sediakan. Di dalam ebook tersebut, saya telah senaraikan ayat-ayat ruqyah yang boleh anda amalkan membacanya setiap hari dan digunakan untuk menawarkan sihir yang ada di dalam badan, inshaaAllah.
Moga sedikit perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada anda. Sekiranya anda merasakan perkongsian saya ini bermanfaat, ringankan tangan anda untuk kongsikan dengan rakan-rakan anda.