The Reporter

'Awak orang Malaysia kan? Jangan buat LIVE ya, kita dah ada Ast** di sini' - NGO Malaysia dedah cerita sebenar isu misi bantuan EL ke Gaza


Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Nadir Al Nuri Kamarulzaman, semalam mendedahkan cerita sebenar mengapa misi bantuan Ebit Lew atau nama penuh Ebit Irawan Ibrahim Lew, 36, di Gaza dipertikaikan oleh beberapa individu sehingga mengundang kemarahan netizen di Malaysia. 


Melalui pendedahan yang dibuat menerusi Telegram, Nadir terdahulu menjelaskan apa yang didedahkannya itu adalah sebagai teguran untuk dijadikan sebagai iktibar bagi semua pihak. Pendedahan itu dibuat ekoran ramai pihak yang mempersoalkan, mencaci dan memfitnah pihaknya (CGM) disebabkan isu tersebut. 


CORETAN PERIBADI MISI TEAM EBIT LEW (EL), SEBUAH TEGURAN, IKTIBAR DAN PEDOMAN


Assalamualaikum W.B.T, di hari yang besar dan mulia ini bagi seluruh umat Islam yang menyambutnya saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Salam Aidiladha. Sebagai seorang insan yang lemah dan kerdil tertarik untuk berkongsi beberapa perkara setelah menerima pelbagai persoalan, cacian dan fitnah daripada kalangan mereka-mereka yang tidak mengenali saya. Saya tidaklah mewakili mana-mana pihak melainkan ianya adalah dari tinta pengalaman peribadi sendiri yang terlibat secara langsung dan tidak langsung berkaitan misi ke bumi Gaza oleh kru dan team EL.


Walaupun saya jauh berkelana di bumi Gaza dan tidak mengenali EL secara dekat, saya telah mengikuti semua cerita-cerita kebajikan EL di Malaysia dan menjadikannya inspirasi untuk mendapatkan semangat terus bekerja dan berbakti di bumi Gaza ini khususnya di waktu-waktu tertekan dengan cabaran kerja-kerja NGO, urusan pengajian sarjana muda kedua dalam bidang Syariah dan mengurus keluarga. 


Secara peribadi saya tidak pernah menyimpan perasaan dengki, iri hati apalagi memperlekehkan perjuangan seseorang yang umum mengetahui adalah seorang insan hebat dan terkenal di bumi Malaysia. Penulisan ini hanyalah tidak lain sebagai teguran kasih-sayang, iktibar dan pedoman untuk mendidik terutama bagi diri saya, team EL dan semua yang terlibat. Saya pasti EL dan teamnya sebagai contoh dan pedoman kepada masyarakat yang sentiasa mengajak kepada berkasih-sayang dan persaudaraan mampu menerima nasihat dan pandangan daripada rakan seagamanya.


Terlebih dahulu saya juga meminta maaf sekiranya kata-kata saya sebelum ini disalah-ertikan atau ditafsirkan oleh pihak media, tim EL dan masyarat sebagai unsur-unsur dengki atau mengejek, walau jauh sekali di lubuk hati saya berfikir sedemikian. Di sini saya ingin membuat beberapa coretan berkaitan Misi Bantuan EL ke bumi Gaza dan Misi Team EL ke bumi Gaza. Nampak serupa tapi tidak sama.


MISI BANTUAN EL KE BUMI GAZA


Perkara pertama yang ingin saya kongsikan adalah berkaitan Misi bantuan EL ke Bumi Gaza, selepas mendengar perkhabaran ini, sayalah orang yang paling gembira kerana tidak sabar untuk berkhidmat untuk menjayakan misi bantuan beliau ini terutamanya apabila saya dihubungi oleh individu bernama Ustaz Zul dari team EL yang bertanya bagaimana mahu mengirim bantuan ke Gaza (SS 1). Dengan segera saya terus menghentikan sementara kerja-kerja harian saya untuk mengutamakan penyediaan kertas kerja pek makanan secara terperinci dan menghantar semula kepada individu dari team EL.



Selepas beberapa hari berlalu dan tiada sebarang maklum balas atau respon daripada team EL maka saya meneruskan kerja-kerja bantuan dari NGO lain dengan mengandaikan team EL terlalu sibuk dengan bantuan khidmat di Malaysia disebabkan PKP.


Selang beberapa hari saya di kejutkan oleh kawan-kawan dan media berkaitan team EL ingin membuat misi masuk ke Gaza dan sudah berada di Cairo Mesir, hati kegembiraan saya terpancar lagi walaupun ada rasa tertanya kerana sukarnya misi ini untuk berjaya kerana situasi PERANG. Sehinggalah saya mengemaskini status di paparan Facebook peribadi saya dengan mengalu-alukan kedatangan team EL dan berdoa semoga misi ini berjaya walaupun ianya agak sukar disamping BERJANJI akan menjadi ORANG PERTAMA menyambut team EL di sempadan bumi Gaza dan akhirnya saya mengotakan janji saya (rujuk video yang dikongsikan di bawah).



Semasa tean EL di Cairo, saya cuba beberapa kali untuk berhubung dengan team EL untuk mendapatkan perkhabaran tetapi tiada sebarang maklum balas. Sehingga rakyat Malaysia dan media menjadi risau tentang kehilangan ‘Hero Malaya’. Selama sebulan team EL terus sepi, timbul pelbagai spekulasi keselamatan terancam dan sebagainya, walaupun hakikat ia jauh dari kebenaran.


Team EL dimaklumkan rakan-rakan di Cairo masih di bilik hotel, boleh pergi bersiar-siar di kawasan pelancongan Husein dan melawat piramid (seperti post oleh P.A-nya) sambil menunggu usaha agar diberi kebenaran memasuki ke Gaza.


Alangkah baiknya ketika itu dinaikkan post dan ditenangkan hati jutaan pembaca bahawa keadaan mereka baik dan urusan masuk ke Gaza tersekat dan mereka perlu terus menanti keizinan? Senyap mereka dan soalan bertubi-tubi netizen di puluhan sesi LIVE membuatkan saya mengambil tanggungjawab untuk menulis post menasihati mereka supaya memaklumkan kepada pembaca tentang keadaan mereka, sehingga akhirnya dikeluarkan post oleh EL bahawa mereka selamat dan tidak ada bahaya apa pun ke atas mereka. Walaupun telah mendapat liputan luas media tentang perjalanan EL ke Gaza, seperti dijangka usaha mereka terbantut apabila keizinan tidak diberikan oleh pihak Mesir.


Malah apabila Director General Kementerian Luar bertanya kepada saya tentang Team EL (individu yang bertanya, Encik Mahmoud Al-Madhoun adalah individu yang sama yang memberikan team EL sijil Duta Muhibbah, sijil yang diberikan kepada SEMUA ahli rombongan dari semua NGO yang masuk ke Gaza untuk memberi bantuan sebagai penghargaan), saya memberikan jawapan positif mengalukan kehadiran mereka dan mencadangkan Kementerian Luar menunjukkan kepada mereka projek apa yang sebaiknya dilaksanakan dan membawa isu Palestin ke persada memandangkan EL mempunya ramai pengikut di media sosial (SS2).


Hubungan saya dengan Encik Mahmoud sangat baik dan hampir setiap bulan pasca perang kami bertemu untuk membincangkan projek-projek paling utama dan prioriti untuk dilaksanakan di Gaza. Begitu juga dengan Timbalan Menteri Pembangunan Soisal Dr Ghazi, Ketua JK Belia dan Budaya Encik Ahmad Muhaisin dan wakil Kementerian Kesihatan Dr Ashraf yang ada dalam gambar ini, kami jumpa setiap bulan untuk berbincang.



Terjemahan: Pada pandangan saya kita menyambutnya dan menunjukkan projek apa yang bagus dijalankan, saya tak pasti berapa beliau dapat bantu tetapi pengikutnya antara yang paling ramai di Malaysia dalam kerja kebajikan dan ia akan membantu isu Palestin secara media.


Dan dijawab Mr Mahmoud "Saya bersetuju dengan pandangan ini."


PEMBELIAN BANTUAN DARI CAIRO UNTUK DI BAWA KE GAZA


Sebelum ini saya pernah memaklumkan kepada media bahawa cara terbaik untuk memberi bantuan ke dalam bumi Gaza adalah dengan pembelian barangan keperluan di dalam pasaran tempatan di Gaza, kerana terdapat banyak kebaikan yang boleh dimanfaatkan terus kepada masyarakat yang memerlukan. Telah banyak pengalaman-pengalaman NGO seluruh dunia cuba untuk memasuki Gaza dengan membawa barangan-barangan keperluan sehingga tersadai dan terbiar di sempadan Gaza dalam bentuk perubatan dan makanan sehingga tamat tempoh dan tidak boleh digunakan. Akhirnya berlaku pembaziran yang amat dahsyat. Perkara ini telah menjadi pengajaran kepada semua NGO-NGO bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.


Amat terkejut bila mana saya melihat di media sosial pembelian barangan bantuan 4 lori yang dibeli di Mesir untuk di bawa masuk ke Gaza. Terpanggil saya untuk memberi teguran manja sedikit berkaitan bantuan yang ingin disampaikan ke Gaza, tetapi disalah ertikan dan ditafsirkan oleh sebahagian pihak bahawa teguran itu bermakna saya mahukan bantuan sampai melalui saya. Sekiranya teguran kecil tidak dapat diterima bagaimana umat kita ingin bersatu untuk menjayakan misi lagi besar masa akan datang?


Persoalan lain pula timbul di mata masyarakat bagaimana barang-barang yang sudah di beli di Cairo tersebut? Adakah bantuan ini sudah berjaya masuk? Setahu saya ia masih lagi tersadai di Mesir beserta bantuan-bantuan lain yang tidak dibenarkan masuk lagi pun. Bukankah ia satu pembaziran? Saya menyeru pihak team EL untuk berani tampil memberi pencerahan dan penjelasan supaya tidak timbulnya bibit-bibit fitnah lain. Dengan mem’block’ atau membuang komen-komen pertanyaan tersebut di media sosial kalian tidak dapat menyelesaikan masalah pokok ini kerana tujuan asal misi adalah untuk membawa masuk bantuan tersebut.


FITNAH 1: SAYA DENGKI EL MASUK KE GAZA?


Umum mengetahui bahawa dalam puluhan LIVE yang saya dijemput berkongsi pasca perang, penonton mendesak bertanya tentang status EL dan teamnya yang tidak mengambil tanggungjawab memaklumkan keadaan mereka sendiri. Berpuluh kali saya terpaksa menjawab bahawa mereka belum masuk, hendak masuk ke Gaza susah dan akhirnya saya sebut ‘hanya wali saja yang dapat masuk ke Gaza’, dengan makna hebat betullah orang yang dapat masuk ke Gaza ketika ini dan alhamdulillah, dengan takdir Allah setelah penantian panjang team EL berjaya juga masuk ke Gaza. Gurauan manja ini bukanlah untuk saya mengejek atau menyindir, jauh dari lubuk hati saya untuk berfikiran sedemikian, tetapi ianya diinterpretasi dengan tafsiran dengan nada yang berbeza dan dipotong dari video panjang. Ia seolah kita berkata kepada rakan, kau memang power gila kalau dapat angkat batu gedabak ini dan hadir dalam bentuk gurauan, bukan mengejek. Apapun saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf kepada semua yang terasa.


Sesiapa yang mengikuti paparan Facebook saya pasti pernah melihat posting berkaitan saya menanti ketibaan team EL kedalam Gaza. Apabila saya mendengar berita daripada Kementerian Luar di Gaza memaklumkan yang team EL telah sampai ke sempadan Rafah di Mesir, lantas saya bergegas ke sempadan untuk menyambutnya bersama anak saya Naeem. Jam ketika itu menunjukkan pukul 11 malam dan kami baru selesai seharian berprogram tetapi digagahkan juga untuk bangun dengan penuh keterujaan manyambut kedatangan orang Malaysia ke negeri ini setelah dua tahun tidak melihat wajah dari negara sendiri dengan harapan dapat berkhidmat, membantu memudahkan urusan atau sekurangnya beramah mesra untuk mengubati kerinduan berjumpa orang Melayu.


Kami sampai dan mendapati wakil Kementerian Luar yang memang bertugas di dewan VIP telah pun berada di sana, selainnya dewan kosong kerana sudah lewat malam. Tak lama selepas itu dua orang wakil Persatuan Bulan Sabit Merah pula sampai. Kami berlima duduk bersama dan wakil Kementerian Luar seronok bercerita pengalamannya ke Malaysia dan bagaimana layanan sangat baik diberikan kepadanya oleh orang kita (walaupun dalam tempoh dua minggu di Malaysia dia tak dapat menyesuaikan diri dengan makanan pedas kita!)


Jam 2 pagi, kami dimaklumkan rombongan sudah melepasi sempadan Rafah sebelah Mesir dan akan masuk ke Gaza. Perasaan ketika itu seronok bukan kepalang. Saya ditolak wakil Kementerian Luar berada di barisan hadapan menyambut rombongan dan apabila turun dari bas, sebahagian team bersalam sedangkan separuh lagi termasuk EL berjalan jauh daripada saya. Tidak ada sepatah kata pun dituturkan oleh seluruh team kepada saya melainkan ‘bodyguard’nya yang terus menegur dan membisik ke telinga saya, 


"Awak orang Malaysia kan, jangan buat LIVE ya, kita dah ada Astro di sini." - (Rujuk Video).


Video menunjukkan saya, Naeem (di belakang kamera) dan dua orang wakil Red Crescent yang datang menyambut rombongan dari langkah pertama yang mereka jejak di Gaza. Bodyguard datang dan melarang dibuat live dan saya memaklumkan memang kami tak buat live pun.


Pelik dan terkejut, ketika itu saya menyedari kehadiran saya tidak disenangi. Saya berjalan di belakang rombongan, cuba menjauhkan diri tetapi apabila EL diminta duduk di kerusi VIP, wakil Kementerian Luar memanggil saya dan meminta saya duduk di sebelahnya. Saya menolak kerana tidak mahu menimbulkan suasana tidak selesa tetapi setelah dipaksa, saya akur.


EL yang duduk di sebelah langsung tak menegur, tak menghulurkan tangan untuk bersalam dan barangkali kerana kepenatan tergesa-gesa untuk bangun semula. Mereka bangun untuk solat dan saya memerhatikan dari jauh, cuba memahami apa yang sedang berlaku. Beberapa keping gambar diambil untuk memaklumkan kepada pihak berwajib bahawa mereka telah selamat sampai, tiba-tiba ‘bodyguard’ yang sama datang lagi.


“Encik tolong padam semua gambar dan video yang diambil tadi,” beliau mengarahkan. 


Ketika itu saya agak terkilan dengan kata-kata tersebut. Saya tidak minta dihormati, saya tidak minta dipuji, cita-cita saya hanyalah untuk membantu dah berkhidmat sedaya mungkin menjayakan misi Team EL atau paling kurang dapat bersalam dengan beliau! Tetapi saya ditegur dengan agak keras oleh wakil Team EL sehinggalah saya melenting lalu beliau meminta maaf dan menyebutkan hanya menurut arahan sahaja.


Selepas itu, saya berundur dan hanya melihat dari jauh. Wakil Menteri Luar datang berjumpa dan berkata, maaflah, saya pun tak tahu sampai begitu sekali ada perselisihan di antara kalian. Saya menjawab kepadanya, tak ada perselisihan pun tapi mungkin ada tujuan peribadi mereka berbuat begitu. Setelah mereka selamat menaiki kenderaan ke tempat penginapan, saya kembali ke rumah.


Saya tidak menyangka bahawa dengan sepatah ayat yang disalah tafsir sebagaimana disebutkan P.A EL saya langsung tak diberi peluang untuk bercakap dengan team dan EL dan yang disebutkan kepada saya oleh seluruh team hanya dua ayat sahaja, jangan buat LIVE dan delete semua gambar. Berbohonglah saya jika tidak mengaku terasa dengan persoalan adakah ini didikan ustaz sama yang ajar kita mengikut sunnah, saling memaafkan, Allah sayang? Adakah di belakang kamera sikap kita berbeza dengan lemah-lembut yang dilihat orang ramai? 


Saya masih belum dapat menjawab persoalan ini, atau barangkali ayat yang disalah-tafsirkan langsung tidak boleh dimaafkan sehingga saya terlalu jijik untuk dipandang. Kalau ya pun saya terlalu hina anggaplah saya seperti madhu’u yang selalu kalian santuni di lorong gelap KL atau adik-adik motor dan nasihatkanlah saya!


Semenjak peristiwa itu saya langsung tak mengambil tahu perkembangan mereka walaupun dijemput Kementerian Luar meraikan kehadiran mereka apabila mereka diberikan sijil Duta Muhibbah. Saya malas mengambil tahu apa keperluan dibuka ‘rumah anak yatim’ sedangkan faktanya di seluruh Gaza ada 20,000 anak yatim tetapi hanya ada satu rumah anak yatim di sini, Ma’ahad Al-Amal yang menempatkan hanya 120 anak yatim kerana budaya di sini yang tidak membenarkan anak-anak yatim tinggal di rumah anak yatim malah dijaga oleh keluarga kembangan.


Saya juga hanya menenangkan pasukan yang mengurus mereka dari Persatuan Bulan Sabit yang mengadu team susah diurus dan meminta dilaksanakan projek yang tidak logik dalam masa yang singkat. Betul seperti apa yang disebutkan, mungkin Malaysia tahu tentang kehadiran mereka di Gaza tetapi untuk bumi Palestin, kehadiran 3 hari pastinya sukar untuk meninggalkan kesan.


Satu saja berita aktiviti yang dijalankan mereka yang saya jumpa dikongsikan di akhbar tempatan (atau lebih tepat group Telegram tempatan) dengan janji sumbangan 250 ribu dollar untuk membangunkan muzium perjuangan Palestin di Gaza, suatu projek yang saya ‘SALUTE’ dan pastinya menunggu pelaksanaan oleh rakyat di sini.


FITNAH 2: WAJIBKAH BANTUAN MELALUI SAYA?


Sememangnya sejak 2013 tidak ada satu NGO Malaysia pun yang masuk melainkan saya berjumpa dan beramah mesra dengan mereka sama ada kepimpinan Yayasan Amal, MyCare, MAPIM, Viva Palestin, Global Peace Mission, Muslim Care atau mana-mana NGO pun. Tiada yang saya minta disampaikan bantuan melalui saya, tidak ada yang diminta datang 'mencemar duli' malah saya yang akan ke tempat penginapan mereka dan beramah mesra kerana seronok dapat berjumpa.


Kenapa saya nak mengharapkan sumbangan melalui pihak saya sedangkan team saya sendiri sudah tidak menang tangan pun menguruskan bantuan sekitar RM15 juta untuk peringkat pertama pasca-perang yang diamanahkan kepada kami untuk Palestin? Dan untuk makluman kalian, untuk bantuan am kami hanya menggunakan kurang 10% sumbangan untuk pengurusan tetapi untuk bantuan kecemasan termasuk RM15 juta yang awal ini, kami mengambil 0% untuk pengurusan dan hanya meminta penyumbang menanggung kos transaksi wang ke sini!


Jujur saya katakan, saya mengharapkan yang terbaik dapat dilakukan untuk team EL dengan saya bersedia berkorban masa dan tenaga untuk membantu dan sama-sama berkhidmat, tetapi ianya tidak seperti dijangkakan perkara kecil yang disalah ertikan telah mematahkan niat baik ini.


KESAN BESAR TEAM EL KEPADA PIHAK LAIN


Dalam tempoh sekitar 8 tahun selepas pertukaran kuasa di Mesir, NGO hanya dapat masuk ke Gaza melalui Rafah dengan melalui NGO antarabangsa Miles of Smiles, dengan jumlah maksimum mungkin 200-300 orang sahaja dapat masuk setahun. Kaedah ini telah di amalkan oleh semua NGOs yang telah berjaya beberapa kali keluar dan masuk ke Gaza.


Kenapa kaedah team EL memberi kesan besar kepada NGO lain? Kerana kalau sebelum ini banyak NGOs boleh masuk melalui cara lama bersama Miles of Smiles, kini mereka terpaksa menggunakan cara baru dengan membayar kepada syarikat harga yang tinggi. Ini kerana hasil desakan dan kesungguhan pihak kerajaan membuat kerjasama Malaysia-Mesir hanya untuk melepaskan misi team EL berjaya masuk ke Gaza tidak kira berapa pun kos yang perlu di bayar tanpa menghiraukan kesan besar selepas itu. Hasil desakan tersebut mereka berjaya masuk dengan syarat penggunaan khidmat syarikat Hala untuk masuk.


Syarikat Hala bukan rahsia untuk penduduk Gaza. Khidmat tersebut boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang mampu membayar kosnya, iaitu $1,200/orang untuk orang tempatan bagi perjalanan masuk dan keluar ke Gaza dan dengan bayaran tersebut akan mendapat layanan istimewa tanpa perlu berhenti di banyak checkpoint dan berhenti di ‘bottle neck’ merentas Terusan Suez yang biasanya mengambil masa 2,3 hari untuk dilalui.


Untuk orang luar pastinya bayaran yang dikenakan lebih mahal, lebih-lebih lagi kalau hendak diberi layanan VVIP dengan iringan kenderaan berperisai dan sebagainya. Duit sendiri atau duit orang ramai, saya menyeru supaya pada masa hadapan perbaikilah apa kelemahan atau kekurangan, pimpinlah perjuangan kemanusiaan dengan pihak berkaitan, sama-sama berpegang untuk membantu bukan dengan cara membuat kerja tanpa menoleh kiri kanan dan tidak menghiraukan kesan buruk yang terpaksa ditanggung badan-badan lain yang telah memulakan dan meneruskan perjuangan nafas panjang.


Kepada rakan-rakan NGO, pusat-pusat zakat, institusi bantuan dan pihak lain yang pernah melalui pengalaman sama di Kelantan, Kedah, Sabah dan tempat lain, barulah saya mengerti apa yang kalian semua rasai khususnya yang terpaksa mengadu di forum tertutup kerana malas melayan ‘backlash’ pembaca kerana kaedah redah dan dakwah yang tidak teratur dan tidak mengendahkan nasihat atau teguran pihak lain. Kepada kalian, teruskan sahaja perjuangan dan kerja kalian selagi mana kalian berada di landasan yang betul. Jangan lupa bahawa hero yang sebenar ialah marhaen yang kita bantu dan upayakan kerana mereka yang selama ini berkorban dan bersabar dengan ujian.


Rileklah bro, Allah kan ada.


INTEGRITI DAN TRANSPARENSI DALAM PERBELANJAAN NGO?


Mereka yang terlibat dengan kerja kemanusiaan tahu bahawa pendaftaran di bawah ROS hanya menuntut dihantar penyata kewangan tahunan. Menjadikan perbelanjaan diaudit adalah bonus dan menunjukkan bahawa NGO menjunjung integriti dan transparensi. Itu tindakan yang diambil pihak saya tahun ini kerana kami mula mencuri perhatian dan diberi amanah yang besar menyampaikan sumbangan kalian.


Untuk makluman juga, pengurusan NGO di Gaza sangat ketat dan penyampaian bantuan dipantau agar tidak berlaku penyelewengan. Sebagai contoh, dalam projek korban tahun ini, pihak Saya membeli 122 ekor lembu melalui sistem tender terbuka. Agihan akan dibuat melalui 140 NGO tempatan yang berdaftar dan dipantau Kementerian Dalam Negeri, malah kami perlu menyediakan senarai nama 30,000 keluarga yang akan menerima bantuan daging!


Adakah pihak EL bersedia memberi penerangan sekiranya ratusan ribu dollar yang dibayar ke syarikat Hala, untuk penginapan, barangan sumbangan yang dibeli untuk agihan sama ada yang terdampar di Cairo atau yang dibeli di Gaza? Sekiranya perbelanjaan tersebut datang dari poket sendiri, sahhah wa afiyah, terima kasih dan teruskan usaha murni ini. Sekiranya tidak, ambillah tanggungjawab memberi penerangan kepada semua penderma supaya tidak timbul bibit-bibit fitnah yang lain.


PENUTUP


Saya mengambil masa yang lama memikirkan sama ada menulis coretan ini atau tidak. Saya tidak kisah dengan makian dan cacian netizen kerana di balik apa yang zahir, sangat ramai yang memberikan sokongan dan meneruskan sumbangan.


Tetapi tanggungjawab mengurus NGO dan melakukan kebajikan ini tanggungjawab sosial, ia bukan semata dengan mengirim gambar dan meraih sokongan awam tetapi ia amanah yang akan ditanya di hadapan Allah kelak dan sepatutnya pengurusan setiap NGO khususnya masuk keluar sumbangan wajar ditanya oleh penderma yang bijak. Contohnya kalau akaun NGO mempunyai puluhan juta ringgit dan bantuan yang disampaikan hanya beberapa ratus ribu dollar dan diketahui perancangan penggunaan baki duit yang disumbangkan orang ramai, pastinya ia bukan tanda integriti dan transparensi.


Seruan saya kepada pihak Team EL, beranilah tampil untuk memberikan penerangan dan penjelasan tentang beberapa perkara yang disebutkan daripada melihat jutaan netizen mencipta fitnah dan bertelagah sesama sendiri. Selamat Hari Raya Aidil Adha, Maaf Zahir Batin.


Sumber: Telegram Nadir Al-Nuri (20 Julai 2021, 2.43 am Gaza)

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...