The Reporter

Pencuri telefon maut dalam kemalangan, pemandu Mazda CX3, rakan dan abang mangsa ditahan untuk siasatan lanjut



Susulan kematian pencuri telefon yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Parit Jalil, Batu Pahat kelmarin, pemandu kereta Mazda CX3 bersama rakannya, serta pemandu Proton Wira (rakan mangsa) telah ditahan polis malam tadi untuk membantu siasatan. 


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pemandu Mazda itu bersama rakannya ditahan ketika menyerah diri di Balai Polis Tongkang Pechah, manakala rakan suspek pula ditahan di rumahnya di Tongkang Pechah. 


Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh tanpa niat dan Seksyen 379 kanun keseksaan kerana mencuri.


Dalam kejadian kelmarin, polis mendapati pemandu Mazda ternampak suspek yang tidak dikenali mencuri telefon bimbit miliknya yang diletakkan di dalam lori milik kilang yang kemudian melarikan diri dengan menaiki Proton Wira. 


"Pemandu berusia 32 tahun dan rakannya berusia 42 tahun yang bekerja di kilang sama bertindak mengejar suspek menggunakan Mazda CX3 sejauh 12 kilometer sehingga berlaku kemalangan," katanya. 


Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.


"Pemandu Proton Wira adalah abang kepada si mati dan polis masih menunggu laporan makmal mengenai hasil ujian dadah dan alkohol mereka," katanya. 


Sementara itu, pasangan suami isteri yang menaiki Perodua Axia yang sebelum ini dilaporkan parah adalah tidak tepat, sebaliknya mereka hanya mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail. 


Sumber: Harian Metro

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...