Pengasas D'Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa gembira kerana perlantikan isteri pertama kepada pemuzik bebas, Ude, iaitu Intan Liana Saleh, memberi impak yang positif kepada jualan jenama tudungnya, lapor Astro Gempak.
Difahamkan, Aliff telah melantik Intan sebagai model tudung jenama Aliff by Sha selama enam bulan.
"Alhamdulillah, Intan mempunyai aura tersendiri dan memberikan impak positif terhadap jualan tudung saya. Selepas saya mengambil Intan sebagai model, jualan tudung yang digayakan Intan seperti Shawl Tingkat dan Bawal Bawang meningkat sebanyak 50%.
"Biarpun masih baru, kami sangat selesa bekerja dengan Intan dan dia memberikan komitmen yang sangat baik," katanya.
Dalam laporan itu juga, Aliff menjelaskan dia mengambil Intan sebagai model untuk membantu menambah pendapatan Intan yang merupakan ibu kepada dua orang anak.
"Saya mengambilnya sebagai model untuk membantunya menambah pendapatan. Dia mempunyai aura yang mengembangkan lagi bakat serta kerjaya, namun dia sangat mentah dan naif. Banyak yang perlu Intan pelajari untuk menjadi lebih menyerlah selepas ini," katanya.
Terdahulu dalam laporan portal hiburan berkenaan, Aliff mengakui dia sememangnya mengambil kesempatan terhadap Intan, ketika namanya sedang dikenali.
Bagaimanapun, Aliff membayar perkhidmatan Intan sebagai model tudung dengan bayaran yang sama seperti artis.