The Reporter

(Video) 'Mak minta maaf terpaksa tinggalkan Is di kedai dobi, mak tak mampu bayar pengasuh'


Si suami menghilangkan diri entah ke mana menyebabkan si ibu dan empat orang anaknya terpaksa hidup merempat sejak Ogos lalu selepas kediaman mereka di Taman Chempaka, Johor Bahru disita, lapor Harian Metro

Julia Isnin, 41, yang bekerja sebagai penyapu sampah di Larkin Perdana sejak dua bulan lalu terpaksa meninggalkan bayinya, Mohd Iskandar, 4 bulan, dengan ditemani anak perempuan Nor Farahin Shahri, 11 dan anak kembarnya Mohd Azhar dan Mohd Azhari, 13 di kedai dobi layan diri kerana tidak mampu membayar pengasuh.

Julia dan anak-anaknya itu juga hidup merempat termasuk tidur di masjid atau rumah terbiar. 

"Mak minta maaf, mak terpaksa tinggalkan Is di kedai dobi ini sebab tak mampu membayar pengasuh," katanya. 

Disebabkan keadaan hidup mereka yang tidak menentu itu, hanya Nor Farahin sahaja yang masih bersekolah, manakala anak kembarnya terpaksa berhenti sejak tahun lalu bagi membantu menjaga adik bongsu mereka. 

Walaupun bimbang dengan keselamatan anaknya terutamanya Iskandar, Julia tiada pilihan lain dan terpaksa berbuat demikian dan memilih kedai dobi sebagai rumah kedua untuk anak-anaknya berteduh kerana diyakini lebih selamat berbanding tempat lain, malah tempat itu terletak berhampiran dengan lokasi dia bekerja di blok bangunan sama.

"Macam inilah rutin harian saya. Bermula jam 8 pagi dari Isnin hingga Sabtu, saya bawa anak-anak ke kedai dobi dan meletakkan Is di meja. Alhamdulillah, Is memang baik tak meragam, diam saja. Dia macam tahu mak dia susah. Kalau menangis pun biasalah nak susu, tetapi kakak dia boleh buatkan. Cuma kadang-kadang kalau tak abang, kakak dia akan cari saya bila Is menangis. 

"Kadang-kadang sambil menyapu sampah, terdetik juga rasa bimbang. Tangan saya menyapu tetapi dalam hati ini hanya Tuhan saja yang tahu," katanya yang juga sentiasa datang menjenguk anaknya beberapa kali bagi memastikan keselamatan mereka. 


Menurut Julia, kehidupan mereka sekeluarga berubah apabila suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori menghilangkan diri tanpa berita dan bertambah malang apabila rumah mereka disita tahun lalu. 

"Saya cuba mencari suami, namun gagal dan sehingga kini tidak diketahui di mana dia berada," kata Julia.

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...