Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, suspek berusia 26 tahun itu telah ditahan sejak semalam selepas tangkapan dibuat.
Mangsa yang berusia 42 tahun itu sebenarnya adalah pekerja di pasar raya yang sama dengan suspek. Kedua-duanya dipercayai berselisihan faham sebelum tercetusnya kejadian yang tidak diingini itu.
"Siasatan awal mendapati punca berlaku kes tumbuk itu disebabkan mereka berdua ada selisih faham. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kes tumbuk itu tular di media sosial hari ini, tetapi kes ini berlaku hari Isnin lagi.
"Pihak polis sudah mengambil tindakan dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.
Ab Rashid berkata, kejadian itu berlaku pada jam 6.24 petang Isnin di mana mangsa didatangi oleh suspek yang terus menumbuk mukanya sebelum memijak dada mangsa sehingga tidak sedarkan diri.
"Mangsa ditumbuk dan dipijak oleh pengawal keselamatan terbabit menyebabkan lelaki itu tidak sedarkan diri," katanya.
Mangsa yang cedera dan berdarah di bahagian muka serta bengkak di bahagian belakang kepalanya akibat terhentak ke lantai kini dirawat di Hospital Tumpat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecderaan.