"Sekelip mata kami tiga beradik yatim piatu," demikian kata Farhan Darwish, 17, selepas kereta yang dinaiki empat ahli keluarganya terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan kedua-dua ibu bapanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari Sabtu lalu, kereta yang dipandu oleh Mohd Faiz Hakim, 18, terbabas di Kilometer 413.1 Lebuhraya Utara - Selatan arah Kuala Lumpur di Lembah Beringin, Kuala Kubu Baru.
Siasatan polis mendedahkan, Mohd Faiz dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam sebuah longkan di sebelah kiri jalan.
Impak dari kemalangan itu, Zahera Ahmad (ibu), 55, yang duduk di tempat duduk belakang tercampak keluar dan maut serta-merta. Manakala bapa pemandu, Darwis, Sanja, 46, yang berada di tempat duduk penumpang bahagian hadapan cedera parah dan turut tercampak keluar melalui cermin pintu sebelah kiri kenderaan.
Seorang lagi mangsa, Nurul Fadhilah Aisyah Darwis, 13, dan Mohd Faiz, hanya mengalami kecederaan ringan dan kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, bapa mereka yang cedera parah di bahagian kepala meninggal dunia malam tadi ketika dalam perjalanan dengan ambulans balik ke Port Dickson.
Menurut Farhah, dia tidak bersama dengan keluarganya dan hanya mengetahui kejadian itu pada jam 3 petang ketika mengikuti kursus Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di SMK Yam Tuan Radin, Lukut.
"Sepatutnya saya juga bersama mereka tetapi tidak dapat sebab kursus. Saya reda dengan ketentuan Allah namun berharap akan terus tinggal di rumah ini," katanya.
Arwah ibu Farhah selamat dikebumikan pada awal pagi semalam dan arwah bapanya akan dikebumikan pada hari ini di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Raya.
Farhah (kanan) ditenangkan oleh rakan-rakannya | Foto Berita Harian |
"Kehilangan kedua ibu dan bapa sekelip mata itu pasti merubah kehidupan kami tiga beradik," katanya.
Sementara itu, Mohd Faiz memuat naik beberapa Instastory yang meluahkan kekesalannya terhadap kejadian itu, membuatkan netizen rasa sebak dan bersimpati dengan nasib tiga beradik berkenaan.
"What have I done? Along minta maaf abah, Along tak patut drive kereta masa tu. It's all my faults. Along tak tahu nak buat macam mana lagi ni abah.
"Along doakan mak sejahtera dan aman di sana mak, jumpa wa dan atok dekat syurga nanti. Along tak sempat nak balas jasa mak lagi, tak jadi imam ketika solat jenazah mak. Hmmm.." tulisnya.
Sumber: Berita Harian, Kosmo, Oh Bulan