The Reporter

'Saya dihina dan diejek oleh banduan lain sehingga jatuh sakit' - Pemandu teksi aniaya kucing sampai mati dipenjara 2 tahun


Pemandu teksi yang didakwa menganiaya seekor kucing betina yang bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering pakaian di kedai dobi layan diri September lalu, dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Selayang.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap A Mohanraj, 42, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah selepas kes disebut semula. 

Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 14 September 2018. 

Berdasarkan pertuduhan, A Mohanraj didakwa bersama dua lagi individu yang menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap kucing itu di kedai dobi Queen Self-Service, Taman Gombak Ria, Selayang, pada 11 September, jam 12.54 tengah malam hingga 1 pagi. 

Mereka didakwa mengikut 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan dihukum mengikut Seksyen 29 (1) akta sama yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Roslan Mohd Isa memohon tertuduh dijatuhkan hukuman setimpal di atas perbuatannya itu yang menganiaya dan menzalami haiwan yang tidak melawan dan tidak boleh diterima oleh masyarakat. 

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan atas alasan sudah insaf. 

"Saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia di atas perbuatan ini. Saya sudah insaf dan berjanji tidak akan melakukannya lagi. 

"Sepanjang berada di dalam tahanan, saya dihina dan diejek oleh banduan lain sehingga jatuh sakit," katanya. 

Sumber: Harian Metro

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...