The Reporter

'Sudu dan garfu berkarat mahu dibuang, bukan untuk dibasuh' - Pengurusan restoran tampil nafi dakwaan netizen


"Loya tekak akak. Ni Khulafa kat rumah akak ni. Pernahlah makan dua tiga kali kat situ. Memang kurang ajar tau diorang ni!!!" demikian tulis seorang pengguna Facebook.

Individu yang memuat naik tiga gambar yang menunjukkan pekerja restoran tersebut meletakkan sudu dan garfu di atas jalan raya sebelum dibersihkan dengan air. 

"Bayangkan kucing, anjing berak kencing, tikus semua lalu di situ. Aduhhh. Lepas tu sudu sedap jer digunakan," katanya lagi. 

Bagaimanapun, pihak Pengurusan Rangkaian Restoran Khulafa Sdn Bhd tampil menafikan dakwaan yang viral di media sosial sejak semalam. 

Pengerusinya, Datuk Abdul Wahith Sharfuddin berkata, pekerja sambilannya sebenarnya mahu membuang sudu dan garfu tersebut yang sudah berkarat, yang sebelum itu disimpan dalam stor restorannya itu cawangan Seksyen 7, Shah Alam. 

"Pada waktu itu, beberapa pekerja membersihkan bahagian belakang premis dan membuang barangan yang sudah tidak boleh digunakan. 

"Ketika seseorang pekerja mahu mengangkat dan membuang sudu dan garfu itu di dalam plastik hitam, ia terjatuh ke jalan raya. 

"Pekerja itu kemudian mengangkat dan mengumpulnya sebelum dibuang. Namun mungkin secara kebetulan ada orang merakam gambar sehingga timbul salah faham mengenainya," katanya. 


Abdul wahith menegaskan, pekerja restoran membasuh sudu dan garfu mengikut prosedur yang ditetapkan di mana sudu dan garfu akan direndam dalam air berisi sabun sebelum dicuci dengan span dan dibilas. Kemudian direndam pula dengan air panas. 

Walaupun perkara itu sudah viral di media sosial, Abdul Wahith berkata pihaknya telah memaafkan individu berkenaan tetapi meminta orang ramai menyiasat terlebih dulu sebelum menularkan dakwaan itu. 

"Restoran kami mengikut piawaian syariah, tukang masak serta pekerja terdiri daripada mereka yang beragama Islam. 

"Jika ada pekerja bukan beragama Islam, mereka hanya bekerja untuk mengambil serta menghantar pesanan makanan pelanggan," katanya. 

Ekoran viral dakwaan individu terbabit, Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga datang ke restoran untuk membuat pemeriksaan pada jam 11 pagi tadi. 

Pemeriksaan dua pihak berkenaan mendapati premis tersebut bersih dan mengikut piawaian pihak berkuasa. 

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...