The Reporter

'Tandas R&R sunyi tak ada bunyi air atau apa-apa, budak itu tunggu siapa?'


Niat dia dan suami mahu menunaikan solat dan ke tandas. Tetapi tidak disangka ‘kunjungannya’ ke sebuah tandas di exit tol (Lebuhraya Pantai Timur) menyebabkan anaknya terkena gangguan. Di pertengahan jalan pula, sekumpulan binatang-binatang kecil menyerang cermin depan kereta. Mujur tiada apa yang berlaku.

Wanita ini juga tidak menyangka kanak-kanak perempuan yang dilihatnya di tandas tersebut merupakan jelmaan seperti yang dikatakan oleh seorang ustaz ketika dia membawa anaknya mendapatkan rawatan. Pesan ustaz tersebut, baca ayat-ayat Quran dan berhati-hati sebelum berhenti ke satu-satu tempat lebih-lebih lagi tempat yang tidak dikunjungi orang ramai.

KISAHNYA berlaku di exit tol, bukan di R&R dalam jam 4.30 petang. Selesai solat, terasa nak buang air. Takkan nak ditahan sampai ke rumah, kan? Jadi, masuklah ke tandas. Tetapi sebelum masuk, tandas itu kelihatan sunyi je dari luar. Hanya ada dua buah kereta saja yang berhenti di situ, termasuk aku jadi tiga. Satu kereta dan satu kereta lagi tak ada orang. Di surau wanita hanya aku seorang sahaja. 

Masa nak melangkah masuk ke tandas, tiba-tiba jantung berdegup laju. Bila masuk, lebih laju degupannya sebab terkejut apabila ternampak ada budak yang sedang bermain rambutnya di depan cermin. Rambutnya tocang dua. 

Mana tak terkejut, dari luar sunyi, tak ada bunyi apa-apa. Budak itu main rambut belah kiri. Aku senyum tapi dia buat tak tahu saja. Sebelum itu aku terkejut sambil istighfar, terus budak itu pandang aku tanpa senyum. Aku tetap balas dengan senyuman. Tetapi dalam hati ini kalau boleh tahan memang keluar terus dari tandas. 

Sebelum itu, aku selidik dulu. Hanya ada satu pintu sahaja yang tertutup. Jadi, aku fikir memang 'budak' itu sedang menunggu orang. Tapi hairan, tandas itu tak ada bunyi air atau apa-apa sampai ke sudah. 

Selesai membuang, buka pintu tengok budak itu dah tak ada. Rupanya dia duduk di hujung cermin dan bermain dengan rambutnya sambil memandang aku. Aku senyum dan apa lagi, terus keluarlah. Ingat nak betulkan tudung ke apa. Kemudian masuk dalam kereta, tak cerita apa pun sebab aku fikir budak itu mesti tengah tunggu mak dia. 

Giliran suami pula masuk tandas, pergi solat dan bila dah selesai semua, bersiap nak balik dan aku masih tak nampak bayangan budak itu keluar dari tandas. 

Perjalanan diteruskan, aku drive sampai jauh sikit baru aku ceritakan hal tadi kepada suami. Selepas aku cerita, tak sampai beberapa minit ada sekumpulan binatang kecil datang menuju ke cermin depan kereta. Allah! Mujur Allah jaga lagi sebab aku yang tengah drive ini macam nak mengelak. Kalau tidak, memang terbabas. 

Bermula dari saat itu, Ayra dah menangis tak berhenti sehinggalah ke exit tol Kuala Terengganu. Aku tak expect dia menangis disebabkan semua ini. Serba tak kena. 

Selepas exit, aku berhenti dan bertukar dengan suami. Aku ambil Ayra, baru dia berhenti menangis. Aku tanya, kenapa dia menangis. Tapi dia hanya tengok aku dan senyap. Masuk kereta, dia tengok muka papa dia dan mula menangis lagi sampai tertutup mata. 

Aku call Tokki dia, dia dengar suara Tokki dan diam sekejap tetapi dia terpandang muka papa dia terus menangis lagi. Bila Ayra menangis begini, dialog aku selalu begini: 

"Dahlah, jangan kacau Ayra. Ayra tak mahu berkawan pun dengan awak. Ayra nak berkawan dengan Adib saja. Dah, pergi jauh-jauh". 

Alhamdulillah, perlahan-lahan dia diam dan tertidur sampai ke rumah. Tiada apa-apa yang berlaku selepas itu. 

Pagi Isnin sebelum Subuh, Ayra tiba-tiba menangis tetapi bukan menangis meminta susu, tetapi dia menangis mendayu saja. Aku bangun buka selimut dan seluar Ayra. Aku buat dia mengiring dan aku baca ayat qursi Al-Fatihah. Alhamdulillah dia tidur lena semula. 

Keesokannya waktu yang sama, dia menangis dan kali ini lagi mendayu. Bukan tangisan Ayra. Aku peluk dia dan aku baca, kemudian dia tertidur. 

Cerita hari ini, pengasuh Ayra call bertanya tentang Ayra di rumah macam mana. Rupa-rupanya dari pagi Ayra menangis, tak aktif, tak nak makan dan tak nak buka mata. Aku call Tok, Tokki dan decided untuk bawa Ayra berjumpa dengan ustaz sebab nak kata mata sakit, tak. Mata dia tak bengkak. 

Kemudian aku ambil mak terus balik. Aku pergi kat Ayra, tengok dia duk peluk Angah sambil pegang kain tutup mata rapat-rapat. Aku panggil, "Ayra, mama ni". Barulah dia buka mata. Aku terus ambil Ayra dan dia peluk aku kuat-kuat. 

Bawa Ayra pergi berjumpa dengan ustaz dan ceritakan apa yang terjadi. Cerita juga tentang Ayra tiba-tiba akan menangis. Bukan menangis nak susu tetapi menangis mendayu saja. Ustaz kata benda itu boleh menyerupai manusia. 'Dia' penunggu di situ. 'Budak' itu akan keluar waktu Asar - Maghrib. 

Ustaz kata beruntung sebab masuk tandas itu tak bawa anak. Ustaz kata, dia ikut keluar sekali dan mungkin dia dulu yang masuk dalam kereta. Ustaz pun ada beritahu orang yang kemalangan di lebuhraya bukanlah disebabkan kelajuan atau kereta tetapi kerana 'benda' itu. Hanya mereka yang kena sahaja tahu. 

Beringatlah. Nak berhenti, bacalah ﷽. Kalau tak biasa berhenti, elakkan berhenti tempat kurang orang. 

Alhamdulillah Ayra dah okey. Ustaz kata dah buang gangguan itu. Alhamdulillah petang ini ambil Ayra, dia ceria dah macam biasa. Selepas ini kita berhenti tempat biasa saja ye.

Kalau korang semua tengok 'budak' itu, confirm korang pun takkan fikir bukan-bukan. Tetapi aku ada rasa negatif sikit masa dalam tandas. Apa yang aku jumpa budak itu pakai t-shirt, skirt, rambut tocang 2, linkungan umur darjah 1-2. Selepas keluar tu, tak ada fikir apa-apa dah. Tapi aku jadi pelik bila tak nampak bayang dia keluar walaupun dah hampir 20 minit. 

Itulah kisah aku. Mungkin tak seram tapi entahlah. Aku tak boleh fikir apa-apa. Rasa takut pun tak. Biarlah kisah aku nii menjadi pengajaran buat semua. Ayah pesan, jangan tegur bahkan jangan senyum bila jumpa budak keseorangan.

Sumber: A’isy Rnf

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...