Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin mengesahkan pihaknya telah menerima aduan daripada kedua-dua pihak iaitu pegawai polis berkenaan dan peniaga burger terbabit.
"Kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 dan 353 Kanun Keseksaan.
"Kes ini dah lama, mungkin berlaku salah faham antara pegawai polis dan peniaga tersebut," katanya.
Dalam laporan polis yang dibuat oleh peniaga burger pada 9 Januari lalu berkata, dua lelaki telah datang ke gerainya pada jam 1.30 pagi pada hari yang sama dan memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai polis.
Dua lelaki terbabit kemudian meminta kad pengenalannya untuk diperiksa tetapi tidak diberikan kerana mereka tidak menunjukkan kad kuasa polis.
Peniaga burger itu mendakwa, salah seorang daripada lelaki itu kemudian menumbuk mukanya dan berlaku pergelutan di antara mereka.
Polis bagaimanapun menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan video itu kerana siasatan sedang dijalankan sejak 9 Januari lalu.
Sumber: Utusan Online