Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof meluahkan rasa kesalnya terhadap Muhammad Sajjad dan rakan-rakannya yang bertelekung serta menjalani ibadah umrah seperti wanita, sekali gus telah mencemarkan imej Islam dan hubungan baik Malaysia dengan Arab Saudi.
"Saya kesal dengan tindakannya, sudahlah itu dipaparkan pula di Instagram seolah-olah bukan kesalahan.
"Agensi pelancongan yang membawa dia (Muhammad Sajjad) sepatutnya sedia maklum dengan statusnya. Saya tidak tahu apa janji dia kalau bawa pergi umrah. Apa janji dia untuk tidak menimbulkan perkara yang boleh mencetuskan kemarahan rakyat.
"Kad pengenalannya adalah lelaki dan dia seorang lelaki secara biologinya. Apabila di Makkah, dia berpakaian telekung dan sudah tentu berpakaian wanita. Semua pergerakan, tempat yang dia lawati dan ruang solat dia adalah bersama wanita.
"Ini menimbulkan ketidakselesaan kerana dia telah menceroboh ruang dikhaskan kepada wanita," katanya.
Mujahid juga mengakui pihaknya menerima banyak aduan dari orang ramai yang mengenai tindakan usahawan kosmetik itu yang jelas sekali mempermainkan agama.
Ekoran daripada tindakan Muhammad Sajjad itu, Mujahid akan memanggil semua agensi pelancongan untuk memastikan perkara itu tidak akan berlaku lagi.
Mujahid juga berkata, tindakan Muhammad Sajjad dan rakan-rakannya itu tidak akan menjejaskan kuota haji negara yang ditingkatkan oleh Arab Saudi baru-baru ini.
Sumber: Sinar Harian
LAPORAN BERKAITAN