The Reporter

'Pakcik cepuk sikit saja, maaf kalau ada yang tak senang tapi mereka perlu diberi pengajaran' - Pak Guard


Kelmarin viral di media sosial video seorang pengawal keselamatan di Plaza Tol Kampung Lekir (WCE) menampar kepala seorang penunggang motosikal yang menggunakan lorong berpalang berbanding lorong motosikal yang telah disediakan. 

Ramai netizen yang berpuas hati dengan tindakan pengawal keselamatan itu dan berkata sepatutnya ditampar dengan lebih kuat sampai otaknya bergegar supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama. 

Namun, Mohammad Yahya, 58, berkata, dia hanya pukul sikit sahaja sebagai pengajaran kepada penunggang motosikal itu dan rakannya yang lain. 

"Saya hanya cepuk sikit saja untuk memberi pengajaran kepada penunggang motosikal itu dan rakannya yang lain kerana tidak mengendahkan arahan supaya menggunakan laluan yang disediakan," katanya.

Difahamkan kejadian itu berlaku pada jam 6.30 petang Ahad yang membabitkan 50 penunggang motosikal dipercayai dari luar daerah Manjung yang pemalas nak mati menggunakan lorong motosikal.

"Kami sudah melarang, cakap elok-elok sebelum sebahagian mereka akur dan lalu di laluan motosikal. Namun sebahagian lagi masih berdegil. 

"Saya lihat mereka seolah-olah tidak takut dan sebab itu saya terpaksa meninggikan suara dan cepuk seorang penunggang motosikal tetapi tidaklah kuat pun, tangan saya juga terkena topi keledar dia. 

"Mungkin mereka beranggapan lebuh raya ini tidak sesak dengan kenderaan jadi boleh buat sesuka hati. Tidak boleh begitu, kita perlu ikut peraturan dan lorong yang betul," katanya yang juga mendedahkan ada penunggang motosikal terbabit melakukan aksi wheelie selepas berjaya melepasi tol berpalang. 

Mohammad Yahya berkata, dia meminta maaf sekiranya ada yang tidak senang dengan tindakannya itu tetapi mengakui golongan itu perlu diberi pengajaran kerana melanggar peraturan dan menyusahkan pengguna kenderaan lain. 

"Sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai pengawal keselamatan di sini dan kalau dibiarkan saja sudah semestinya tidak elok, malah kejadian sama boleh berulang atau ditiru orang lain pula," katanya. 

Sumber: Harian Metro

LAPORAN BERKAITAN

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...