Najib Razak hari ini menggesa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali segera didakwa atas kesalahan melanggar perintah kuarantin kendiri selepas pulang dari Turki, Julai lalu.
Bekas perdana menteri itu berkata, isu yang ditangguh hari demi hari itu membuatkan rakyat tidak berpuas hati, apatah lagi memberi ruang kepada pembangkang memainkan isu tersebut.
"Biar mahkamah putuskan dia salah ke tidak atau apa hukumannya sebab saya difahamkan KKM atau Imigresen terlepas keluarkan arahan kuarantin mandatori pada dia.
"Jika kalah, masih boleh rayu. Hentikan modal propaganda PH sebab saya dah bosan tengok Kit Siang buat puluhan posting bagi isu yang sama," katanya.
Dalam perkembangan terkini kes Khairuddin, polis telah menyerahkan semula kertas siasatan yang membabitkan pemimpin PAS itu ke Jabatan Peguam Negara.
Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid memberi gambaran siasatan mengenai kes itu belum dapat disimpulkan.
Julai lalu, Khairuddin pulang dari Turki dan dilaporkan melanggar perintah kuarantin kendiri. Perkara itu hanya disedari oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, selepas Khairuddin muncul di Dewan Rakyat kurang dari seminggu selepas pulang dari luar negara.
Tindakan Khairuddin itu mencetuskan kemarahan masyarakat yang mula meluahkan rasa tidak puas hati berikutan rakyat biasa dikenakan tindakan kerana melanggar perintah kuarantin berbanding golongan tertentu tidak diambil tindakan.
Kementerian Kesihatan Malaysia mengakui hanya menyedari perkara itu selepas ia viral di media sosial dan mengenakan denda maksimum RM1,000 terhadap Khairuddin di atas kesalahannya itu.
Setelah beberapa minggu berlalu, isu itu kembali senyap sehinggalah semalam apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji tidak akan mengamalkan sikap dwistandard untuk menguatkuasakan peraturan dan merotan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Sumber: Facebook Najib Razak, MalaysiaKini