The Reporter

'Perbuatan dia memalukan Presiden Indonesia!' - Interview kerusi kosong untuk sindir Menteri Kesihatan, penyokong No 1 Jokowi lapor polis

Pengacara Najwa Shihab yang melakukan wawancara bersama kerusi kosong di program Mata Najwa, ekoran Menteri Kesihatan Indonesia enggan datang biarpun telah diundang beberapa kali, viral di media sosial minggu lalu. 


Najwa bertindak sedemikian kerana kesal dengan menteri terbabit yang kelihatan seperti tidak berfungsi sedangkan Indonesia saban hari mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 yang tinggi. 


Ramai netizen yang bersetuju dengan tindakan Najwa dan mempersoalkan keberadaan menteri berkenaan. Namun siapa sangka, ada individu yang tidak berpuas hati dengan tindakan pengacara itu. 


Pengerusi Sukarelawan Jokowi, Silvia Devi Soembarto berkata, perbuatan Najwa itu secara tidak langsung telah memalukan Presiden Joko Widodo. 


"Perbuatan Najwa itu menguris hati kami sebagai penyokong presiden. Ini kerana Menteri Kesihatan itu adalah wakil dari Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo," tegas Silvia. 


Silvia juga khuatir, apa yang dilakukan oleh Najwa itu kelak akan ditiru oleh wartawan lain menyebabkan dia mengambil tindakan membuat laporan polis dan juga aduan ke Majlis Akhbar. 


Menurutnya, tindakan Najwa juga boleh dikategorikan sebagai buli siber kerana menjadikan ketidakhadiran menteri kesihatan sebagai parodi. 


Sementara itu, Najwa baru sahaja mengetahui perkara itu setelah dimaklumkan oleh rakan-rakan medianya. 


"Saya baru mengetahui perkara ini dari teman media, belum tahu apa dasar laporan itu dibuat. Tetapi saya difahamkan pihak polis menolak laporan itu," katanya. 


Najwa yang mesra dipanggil Nana itu bagaimanapun tidak menolak untuk memberikan kerjasama sekiranya dipanggil oleh pihak polis. 


"Jika memang ada keperluan, saya akan memberi keterangan," katanya. 


Dalam pada itu, Najwa menjelaskan tindakannya menemubual kerusi kosong disebabkan kelibat menteri kesihatan jarang kelihatan sejak pandemik Covid-19 kian meningkat sehingga menimbulkan banyak persoalan rakyat. 


"Faktor-faktor itulah yang mendorong saya untuk berbuat demikian. Pertanyaan-pertanyaan yang saya ajukan juga berasal dari publik," katanya. 


Menurut Najwa, aksi menemubual kerusi kosong memang tidak pernah berlaku di Indonesia tetapi pernah berlaku di beberapa negara lain atas sebab yang sama. 


Sumber: Pikiran Rakyat


LAPORAN BERKAITAN

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...