Polis sekali lagi mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan taktik digunakan penjenayah siber dan menegaskan pihak berkuasa itu tidak sekali-kali akan membuat panggilan telefon kepada mana-mana individu untuk menyelesaikan kes-kes jenayah.
Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani ketika menjelaskan perkara itu, berkata polis hanya akan membuat panggilan untuk membuat janji temu hadir ke balai polis bagi sebarang urusan rasmi.
"Sebarang urusan yang berkaitan dengan akaun, tangkapan, laporan polis dan kes jenayah hanya diselesaikan di pejabat, balai polis, atau mahkamah. Pihak polis tidak pernah menelefon mana-mana individu untuk selesaikan kes malah untuk sebarang urusan rasmi mereka (individu terlibat panggilan) perlu ke balai polis.
Oleh demikian, saya ingin mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berhati-hati dengan modus operandi yang digunakan penjenayah siber,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah dan Pelancaran Portal dan Aplikasi Semak Mule dan Maktab PDRM Cheras, hari ini.
Ditanya mengenai kes penipuan pembelian dalam talian, Acryl Sani berkata individu yang tertipu semasa pembelian dalam talian dinasihat untuk ke balai polis bagi membuat laporan kerana polis memerlukan maklumat mengenai nombor akaun yang digunakan penjenayah siber.
“Ada mangsa yang kena tipu pembelian dalam talian iaitu nilai tidak besar tetapi mereka tidak melaporkannya kepada polis dan menganggap perkara yang menimpa mereka tidak besar serta serius,” katanya.
Beliau berkata pada tahun lepas sahaja sejumlah 28,508 pelbagai kes penipuan dalam talian melibatkan 18,130 akaun keldai dilaporkan dengan jumlah kerugian mencecah RM2.4 bilion.
“Pada awal tahun ini sehingga September lepas pula, polis menerima 14,000 pelbagai kes penipuan dengan kerugian lebih RM400 juta,” katanya.
Sehubungan itu, Acryl Sani berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman mengambil inisiatif membangunkan aplikasi mudah alih Semak Mule untuk membolehkan masyarakat menyemak akaun bank dan nombor telefon yang mempunyai rekod jenayah secara sahih.
"Masyarakat boleh akses aplikasi ini di mana jua mereka berada untuk membuat semakan awal sebelum mereka menjadi mangsa penipuan," katanya.
Beliau berkata orang ramai yang ingin menggunakan aplikasi itu boleh memuat turun Semak Mule di platform Google Playstore.
Sumber: Bernama