Seorang pendakwah terkenal berusia 30-an telah dipanggil Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubungan dakwaan gangguan seksual yang tersebar di media sosial beberapa minggu lalu.
Individu berkenaan telah hadir ke Bukit Aman pada jam 9 pagi hari ini untuk membantu siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11).
Turut kelihatan, beberapa orang 'mengepung' pendakwah berkenaan bagi mengelakkan kehadirannya dirakam oleh pihak media.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan perkara itu dan satu kenyataan media berhubung kes tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
27 Julai lalu, viral di media sosial klip video yang didakwa menyerupai pendakwah berkenaan sedang melakukan aksi tidak sopan di atas katil. Beberapa individu termasuk selebriti juga memuat naik kenyataan di media sosial seperti memberikan petunjuk berkaitan isu tersebut.
Di media sosial ketika itu, netizen memberikan pelbagai respon. Ramai yang enggan percaya kerana individu berkenaan seorang yang baik selain banyak menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan. Sehinggalah baru-baru ini dia terpalit dalam kontroversi dengan seorang selebriti.
Sumber: Harian Metro