The Reporter

Budak 9 tahun nyaris maut selepas tertelan bebola magnet ketika lakukan TikTok Challenge


Seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun nyaris maut selepas tertelan sejumlah bebola magnet ketika melakukan cabaran TikTok, dedah ibunya. 


Jack McGeoch dikejarkan ke hospital selepas mengalami sakit perut dan muntah-muntah di kediamannya di Borestone, Stirling, United Kingdom, Selasa lalu. 


Ibunya, Carolann berkata, imbasan ultrasound mengesan ada sesuatu yang tersumbat di bahagian ususnya dan Jack kemudian mengaku dia tertelan bebola magnet. Jack yang dimasukkan ke Royal Hospital for Children di Glasgow pada Rabu terpaksa menjalani pembedahan kecemasan. 


Carolann dimaklumkan, anaknya berdepan dengan risiko maut akibat kesan buruk dari magnet yang melekat di dinding usus. 


"Saya diberitahu kerosakan teruk boleh berlaku pada usus anak saya. Saya menangis dan menandatangani kebenaran untuk melakukan pembedahan itu," katanya. 


Difahamkan, Jack menelan sejumlah bebola magnet bagi menyahut cabaran yang sedang trending di laman TikTok. Tidak diketahui apakah cabaran itu, tetapi semakan di laman tersebut menunjukkan remaja memasukkan bebola magnet ke dalam mulut mereka untuk membuat ilusi tindakan di lidah dan bibir. 


"Sepanjang empat jam pembedahan, apendiks, usus kecil dan usus besarnya dikeluarkan semua demi beberapa biji bola magnet bodoh itu. Lima hari selepas pembedahan, Jack masih tidak dapat berjalan. Pakar bedah berusaha mengeluarkan magnet tersebut kerana bimbang akan kerosakan yang berlaku pada usus anak saya. 


"Jack bernasib baik kerana masih hidup. Tetapi jika pengalamannya ini dapat mengelak kanak-kanak lain melakukan perbuatan yang sama, saya akan lakukan apa saja untuk berkongsi maklumat. 


"Ada video di media sosial yang mendorong kanak-kanak melakukan perbuatan ini tanpa sedar magnet kecil ini boleh membunuh mereka dengan mudah. Kehidupan Jack telah berubah selama-lamanya. Mari kita hentikan orang lain daripada mengalami kejadian seumpama ini," katanya.


Jack bukan kanak-kanak pertama yang menjadi mangsa TikTok Challenge. Pada Mei lalu, Ellis Tripp, 11, dikejarkan ke hospital setelah mengadu sakit perut. Pakar bedah kemudian menemui bebola magnet di dalam ususnya. 


Nenek mangsa berkata, walaupun Ellis kini telah sihat, tetapi kelakuannya berubah dan kehilangan berat badan yang amat ketara. Ellis telah berubah dari seorang kanak-kanak yang ceria menjadi pendiam. 


Dalam kes lain, Faye Elizabeth dari Rainhill, mendedahkan anak perempuan berusia 13 tahun terpaksa dibuang apendiksnya dan sebahagian ususnya dikeluarkan setelah menyahut cabaran TikTok itu. Pakar bedah mengeluarkan 15 biji bebola magnet dari perutnya. 


Sumber: Daily Mail

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...