The Reporter

Pengedar dadah ditahan selepas terdail no telefon polis ketika tidur


Seorang pengedar dadah di Jerman ditahan polis selepas dia tertidur dan secara tidak sengaja menghubungi talian kecemasan melalui telefon bimbitnya. 


Operator di pusat panggilan kecemasan yang menerima panggilannya kira-kira jam 1 pagi Sabtu lalu, hanya dapat mendengar bunyi dengkuran dan rintihannya pada ketika itu. Setelah diselidik, panggilan itu dibuat oleh lelaki berusia 23 tahun dan sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian, bandar Waldbrol, kira-kira 30 batu dari Cologne. 


Sebaik tiba di lokasi, pintu rumah dibuka oleh rakan suspek berusia 21 tahun yang terkejut melihat kehadiran beberapa anggota polis. Dalam masa yang sama, bau ganja yang kuat turut menarik perhatian pasukan keselamatan berkenaan. 


Pemeriksaan mendapati, suspek utama sedang tidur di sofa dan apabila dikejutkan dia langsung tidak tahu mengapa polis berada di hadapannya. Dia juag menegaskan dia tidak membuat sebarang panggilan kecemasan sehingga dia memeriksa rekod panggilan di telefon bimbit dan mendapati dia sebenarnya telah menghubungi nombor kecemasan beberapa kali. 


Polis turut menggeledah rumah tersebut dan mendapati bukan hanya ganja yang ditemui, malah terdapat sejumlah dadah serta peralatan berkaitan yang lain seperti pil ekstasi, kokain, amfetamin, alat penimbang dan wang tunai. 


"Ini bukan jumlah yang sedikit, kedua-dua suspek ditahan kerana disyaki mengedar dadah," kata jurucakap polis. 


Semakan rekod mendapati, dua suspek terbabit pernah ditahan kerana terbabit dalam jenayah pengedaran dadah dan kini berdepan dengan tindakan undang-undang. 


Sumber: Daily Mail

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...