The Reporter

Ahli politik tawar RM354,001 untuk beli nombor telefon disiarkan dalam Squid Game


Nombor telefon yang boleh dihubungi dalam drama bersiri Netflix, 'Squid Game' yang viral di media sosial beberapa minggu lalu sehingga kini masih menjadi perbualan hangat. 


Selepas pemilik nombor berkenaan mengaku kehidupannya terganggu kerana telefonnya menerima banyak panggilan dan mesej setiap hari tanpa mengira jam, kini nombor tersebut dilaporkan menjadi bahan politik di Korea Selatan. 


Tidak mahu ketinggalan, seorang ahli politik di negara itu juga mengikuti perkembangan hal itu dan menawarkan diri untuk membeli nombor tersebut. 


Huh Kyung-young, ahli politik yang diketahui bakal menjadi calon Presiden Korea Selatan menawarkan diri untuk membeli nombor tersebut dengan harga 100 juta won atau RM354,001. 


Kyung-young yang merupakan ketua Parti Revolusi Nasional, memuat naik tawaran itu di akaun Facebooknya selepas terbaca mengenai berita keluhan pemilik nombor telefon itu. 


"Saya dengar pemilik nombor telefon yang ditunjukkan dalam drama bersiri Squid Game mengalami gangguan serius dari panggilan orang tidak dikenali. Saya ingin membeli nombor itu dengan harga 100 juta won," tulisnya di Facebook. 


Bagaimanapun, tawarannya itu sehingga kini masih belum mendapat respon dari pemilik nombor tersebut. 


Kyung-young terkenal sebagai tokoh politik yang mengambil pendekatan eksentrik dalam menjalankan kempen politiknya. Dia pernah menaburkan janji untuk memberi dana 100 juta won atau RM354,001 dan dividen bulanan 1.5 juta won atau RM5,310 kepada semua orang dewasa. 


Sementara itu mengenai nombor telefon yang digunakan dalam 'Squid Game', Netflix dan produksi drama tersebut, Siren Pictures, masih belum memberi sebarang komen rasmi mengenai perkara itu. Namun pihak berkenaan berjanji akan segera menyelesaikan masalah tersebut. 


Sekiranya 'Squid Game' terbukti cuai dalam berkongsi maklumat peribadi orang lain tanpa izin, Netflix boleh didenda 50 juta won atau RM117,001.  

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...