Polis menahan seorang lelaki warga Arab Saudi yang disyaki menyimbah asid pada isterinya sendiri yang dikenali sebagai Sarah, 21, sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu, 20 November 2021, di Cianjur, Indonesia.
Ketua Polis Daerah Cianjur, Septiawan Adi berkata, kejadian bermotifkan cemburu di mana suspek, Abdul Latief dan isterinya yang sudah mendirikan rumah tangga selama satu tahun lima bulan terdahulu bertengkar sebelum mangsa disimbah dengan asid yang dibeli oleh suspek.
Difahamkan, Sarah berketurunan Arab-Indonesia di mana bapanya merupakan tentera Arab Saudi dan ibunya merupakan tenaga kerja wanita di Arab suatu ketika dahulu. Ketika masih kecil, keluarga bapanya pernah meminta Sarah tinggal di Arab, tetapi Sarah memilih untuk menetap di Indonesia.
Abdul Latief dikatakan tergila-gilakan pada Sarah dan sanggup mengejarnya ke Indonesia. Dia pernah cuba melamar Sarah beberapa kali tetapi gagal, sehinggalah percubaan keempatnya membuahkan hasil.
Setelah berkahwin, Abdul Latief dikatakan terlalu cemburu dan Sarah tidak dibenarkan kerap keluar dari rumah. Sarah juga pernah diseksa, sehinggalah kemuncak kejadian pada Sabtu, Sarah disimbah dengan asid yang menyebabkan badannya melecur 90 peratus. Sebahagian dari cecair asid itu juga dikatakan termasuk ke dalam mulutnya.
Menurut laporan, Sarah didatangi oleh Abdul Latief pada jam 1 pagi ketika dia sedang tidur. Tangannya diikat dan mulutnya disumbat dengan kain sebelum dibelasah. Lebih teruk lagi, kepalanya dihentak ke dinding beberapa kali.
Sarah tidak berupaya melawan kerana Abdul Latief berbadan besar berbanding dirinya yang kecil. Jiran-jiran yang menyedari kejadian itu terus datang membantu dan membawa Sarah ke hospital. Tetapi Sarah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, ekoran kecederaannya yang parah.
Selepas kejadian itu, Abdul Latief cuba melarikan diri ke Tangerang sebelum ke Arab Saudi. Bagaimanapun, rancangannya diketahui dan polis segera menyekat pasport milik suspek.
"Awalnya kami mendapat maklumat suspek mahu melarikan diri ke Bandara Soekarno Hatta. Kami terus menghubungi pihak berkuasa lapangan terbang untuk menghalang pesawat dari berlepas dan terus menahan suspek," katanya.
Polis kini sedang menunggu hasil bedah siasat terhadap mayat mangsa dan suspek akan didakwa dalam masa terdekat.
Sumber: Suara