The Reporter

'Kami amat berdukacita terhadap mangsa...' - Syarikat tampil ucap takziah pada mangsa, polis sahkan pemandu lori punyai 10 rekod kesalahan trafik



Kelmarin, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan agensinya menggantung sementara operasi sebuah syarikat pengeluar papan simen gentian berhubung kecuaian pemandu lorinya membawa muatan melebihi had ketinggian menjadi punca kemalangan pada 29 Oktober lalu menyebabkan seorang wanita hamil mengalami keguguran dan cedera parah.


Pada petang Selasa, syarikat UAC Berhad mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya mengambil maklum mengenai video dan gambar kemalangan yang tular di media sosial dan mengucapkan takziah kepada mangsa-mangsa terlibat. 


"UAC Berhad ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang terlibat dalam kemalangan tragis ini. Kami amat berdukacita terhadap mangsa yang mengalami kehilangan dan kecederaan. Kami bersama anda di saat kesedihan ini. 


"Kami sedang menghubungi keluarga yang terbabit dalam kejadian ini dan dalam masa sama juga memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang sedang menjalankan siasatan," kata kenyataan itu. 



Menurut UAC Berhad, sejak ditubuhkan 60 tahun lalu, inilah kali pertama pihaknya berdepan dengan kemalangan tragik itu. Dan disebabkan itu juga, pihaknya akan mengetatkan lagi prosedur operasinya bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang. 


Sementara itu di media sosial, netizen mengkritik tindakan syarikat itu yang dikatakan agak lambat mengeluarkan kenyataan tersebut kerana kes itu sudah berlaku sebulan lalu dan di sepanjang tempoh itu tiada sebarang tindakan mahupun kenyataan yang dikeluarkan bagi menunjukkan rasa simpati terhadap mangsa-mangsa kemalanganya. 


"Kemalangan berlaku pada 29 Oktober 2022, viral pada 12 Disember 2022. Apa jadi dalam tempoh itu? Kalau tak ditularkan, senyap saja?" kata netizen. 


Dalam perkembangan terkini, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan, pemandu lori berusia 47 tahun yang terbabit dalam kemalangan itu mempunyai 10 rekod pelbagai kesalahan trafik sejak tahun 2012 hingga 2022. 


Siasatan telah selesai dijalankan dan kertas siasatan telah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. 


29 Oktober lalu, kecuaian pemandu lori itu yang membawa muatan melebihi had ketinggian dan memandu dengan laju ketika melalui kawasan selekoh di Kilometer 69 Jalan Raya Timur Barat, Gerik-Jeli, telah menyebabkan muatannya terjatuh menimpa beberapa buah kenderaan di jalan bertentangan. 


Akibat dari kemalangan itu, seorang ibu hamil lapan bulan (bayi sulung) mengalami keguguran di mana rahimnya pecah, tulang belakang terbelah tiga, tiga tulang rusuk patah, otak dan hatinya cedera. 


Sumber: Facebook UAC Berhad, Sinar Harian

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...