The Reporter

4 beradik maut dalam kebakaran ketika ibu keluar sekejap untuk beli kelengkapan berbuka puasa



Empat beradik dilaporkan maut dalam kebakaran selepas kediaman mereka terbakar dalam kejadian jam 7.49 petang Rabu, 29 Mac 2023. 


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar berkata, kebakaran itu telah menyebabkan rumah tersebut musnah 80 peratus dan anggotanya berjaya menemui keempat-empat mangsa di bilik air. 


Empat mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan empat tahun, manakala dua lagi kanak-kanak lelaki berusia tiga dan lapan tahun ditemui dalam bilik air dalam keadaan tidak sedarkan diri. 


Pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan kemudian mengesahkan kesemua mangsa Puteri Aisyah Tenko To, 8, Mohd Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, telah meninggal dunia dan mayat empat beradik itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 


Sementara itu, ibu mangsa berusia 31 tahun tidak menyangka tragedi itu menimpa anak-anak kesayangannya. Sedangkan dia hanya keluar sebentar untuk mencari kelengkapan berbuka puasa. 


Difahamkan, ibu mangsa keluar sebentar untuk pergi ke kedai berhampiran, manakala suaminya yang berusia 31 tahun pula bekerja di sebuah restoran di sekitar bandar Muar. 


Empat beradik berkenaan ditinggalkan di rumah dalam keadaan pintu bahagian dapur tidak berkunci. Namun, polis percaya keadaan api yang terlalu marak menyebabkan empat beradik terbabit gagal mencari jalan keluar dan dipercayai masuk ke bilik air untuk menyelamatkan diri. 


Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz percaya kebakaran itu berpunca akibat litar pintas. Namun, masih menunggu hasil laporan lanjut daripada pihak Bomba. 


Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. 


Sumber: Kosmo! Online, Harian Metro

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...