Polis telah menahan dua lelaki tempatan yang terbabit dalam kes pukul seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Telok Gong sehingga menyebabkan seorang murid perempuan berusia 9 tahun meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dua suspek terbabit berusia 38 tahun dan salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dengan penyalahgunaan dadah.
Dalam masa sama, polis masih giat memburu seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Muhammad Putra Abdullah berusia 31 tahun. Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek tampil untuk membantu siasatan.
"Dua lelaki telah ditahan dan seramai enam orang saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan kes ini.
"Pegawai penyiasat dalam proses melengkapkan siasatan dan seterusnya akan merujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh masa yang terdekat," katanya memetik laporan dari Harian Metro, Selasa, 28 Mac 2023.
Menurut satu sumber di media sosial mengatakan, salah seorang suspek meronta-ronta ketika ditahan oleh anggota polis, di tempat kerja. Suspek juga dikatakan sempat mewarnakan rambut karatnya ke warna hitam dipercayai bagi mengelakkan dirinya ditahan.
Dalam kejadian minggu lalu, pemandu lori berkenaan yang berusia 36 tahun dipukul oleh sekumpulan lelaki selepas terlibat dalam kemalangan yang tidak diingini itu.
Mangsa, Nurul Jannatun Assyifa Muhammad Jamathir, 9, maut dilokasi kejadian akibat digilis oleh tayar belakang lori tersebut, selepas motosikal yang dinaikinya terjatuh. Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa termasuk adiknya tidak memakai topi keledar.
Sumber: Harian Metro