Sesi persekolahan baru sahaja dimulakan dan sudah semestinya ramai pelajar yang tidak sabar kembali ke sekolah dengan harapan dapat menimba ilmu dengan damai dan tenang.
Namun, timbul pula satu video di media sosial yang menunjukkan kemudahan asas di asrama sekolah berada dalam keadaan rosak. Hal itu mengundang rasa kecewa golongan ibu bapa yang menghantar anak masing-masing ke sekolah berasrama itu.
Menurut pengadu, David Anthony, video itu dirakam di sebuah sekolah di Mukah, Bintulu, Sarawak. Sejak dimuat naik 19 Mac lalu, video tersebut telah ditonton lebih dari 94,000 tontonan yang rata-ratanya memberi reaksi terkejut dan sedih melihat keadaan dalam asrama berkenaan.
"Macam mana nak suruh anak tinggal kat sini? Ingatkan anak akan tinggal dengan selesa di asrama," kata salah seorang ibu pelajar dalam video itu.
Berdasarkan video, kelihatan jelas almari yang disediakan untuk pelajar mengalami kerosakan teruk, pintu tercabut, kotor dan lusuh. Manakala katil bertingkat pula ada yang rosak, tidak berkerangka atau kurang kerangka asas. Lebih teruk lagi, keadaan tilam yang dipercayai berkulat.
Dalam video itu juga kedengaran bunyi 'bertukang' yang dipercayai dilakukan oleh ibu bapa pelajar yang cuba membaiki struktur katil atau almari.
Enggan menyalahkan mana-mana pihak, netizen menyarankan pihak sekolah mengenakan deposit pada setiap pelajarnya agar harta benda di asrama kekal berada dalam keadaan baik.
"Patutnya pihak sekolah minta deposit daripada student sebelum masuk ke asrama. Kalau keadaan asrama jadi macam ni (seperti dalam video), deposit burn terus. "Beginilah manusia apabila menggunakan harta orang sesuka hati," kata Madzihi.
"Bukan nak salahkan sesiapa tetapi mentaliti budak-budak yang susah dididik mengenai kepentingan aset sekolah dijaga. Yang merosakkan aset-aset ini adalah di kalangan budak sekolah itu sendiri. Kementerian Pendidikan (KPM) harus mengeluarkan satu pekeliling bagi membenarkan kutipan deposit daripada budak-budak sekolah bagi mengekang kejadian seperti ini berulang lagi," kata Jiang.
Sumber: Facebook David Anthony