The Reporter

Ibu tunggal melacurkan dirinya dikenakan hukuman denda RM2,500



Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di George Town hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melacurkan diri di sebuah hotel di George Town, Ahad lepas.


Nadzirah Azizoh @ Azizam, 43, dari Jalan Pokok Sena, Kedah mengaku bersalah terhadap dakwaan melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Penang antara pukul 2 pagi dan 2.25 pagi 19 Mac lepas, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.


Majistret Azlan Basri turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu.


Sementara itu di mahkamah yang sama dua lagi wanita Nurul Najihah Abu Bakar, 23, dan Nor Hafiza Rosli, 32, mengaku tidak bersalah dan memohon bicara selepas pertuduhan sama dibacakan terhadap mereka.


Nurul Najihah dan Nor Hafiza masing-masing dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan Azlan menetapkan tarikh 28 Jun untuk sebutan semula kes.


Di Mahkamah Majistret berasingan, dua lagi wanita Rozita Abdullah Sani, 33, dan Nurul Aniza Sarizan, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan sama dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret R.Manomani.


Manomani membenarkan Rozita dan Nurul Aniza diikat jamin RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April serta 28 Jun untuk sebutan semula.


Kesemua wanita itu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil dan M. Darrshini manakala kesemua tertuduh diwakil peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Cheah Eng Soon dan Hazarul Iqram Rozahan.


Sumber: Bernama

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...