Pemeriksaan ke atas mayat wanita yang dibunuh suaminya dengan menggunakan tukul besi menemui enam kesan kecederaan akibat hentakan kuat yang dipercayai menjadi punca kematian mangsa.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, dua kesan hentakan di bahagian mata kanan, dahi, hidung, mulut dan telinga kanan mangsa.
Baca: Kerana cemburu, isteri maut dibelasah suami menggunakan tukul besi di Kampung Besol
Kesan kecederaan itu berkemungkinan kerana dihentak dengan tukul berkali-kali.
Semasa menerima laporan awal mengenai kejadian di kediaman pasangan itu di Kampung Besol, Bukit Besi, pihaknya terus bergegas ke lokasi dan menemui mayat mangsa terbaring di atas lantai ruang tamu dengan kesa percikan darah di lantai serta dinding rumah.
"Ketika kejadian, pasangan itu bersama bayi yang berusia tiga bulan berada di dalam rumah itu. Mangsa, Rubiah Sabtu, 41, menjalankan perniagaan kedai runcit dipercayai dibunuh akibat masalah perselisihan faham.
"Pasangan itu baru setahun berkahwin dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia tiga bulan. Mangsa sebelum ini pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai enam anak," katanya.
Suspek berusia 32 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi mengetahui motif pembunuhan.
Sementara itu, adik mangsa, Rozilan Yusof berkata, kakaknya jenis pendiam, dan baik. Mereka sangat rapat walaupun berlainan bapa dan selalu berkongsi masalah. Kejadian yang menimpa Rubiah membuatkan dia sangat terkejut.
"Saya dikejutkan dengan panggilan daripada bekas abang ipar (bekas suami mangsa) jam 10 pagi yang memaklumkan kakak mati dibunuh. Saya seperti tidak percaya sebelum pergi ke rumah mangsa, remuk hati melihat kakak sudah tidak bernyawa," katanya.
Menurut Rozilan, kali terakhir dia bertemu dengan mangsa adalah pada petang semalam dan air mukanya kelihatan sedih, namun tidak pula bertanya mengenai hal itu.
"Biasanya kalau ada masalah, dia akan cerita pada saya dan saya pun tak tanya kenapa mukanya sedih ketika itu. Dia ada menghubungi saya pada jam 1.10 pagi tadi untuk meminjam kipas kerana anaknya panas. Tetapi tidak dapat membantu sebab masih bekerja di kedai makan.
"Abang ipar (suspek) sangat baik dengan saya dan kami kenal lama kerana tinggal sekampung. Dia jenis pendiam, sepata saya cakap, sepatah dia jawab. Dia bekerja sebagai tukang rumah. Bila balik bekerja, dia akan duduk di rumah membantu isterinya termasuk bermain dengan anak-anak.
"Beberapa hari saya tidak berjumpa dengan dia (suspek) dan kejadian hari ini sangat mengejutkan kami," katanya.
Sumber: Harian Metro