The Reporter

Berang isteri tak masak nasi, suami tendang anak sampai mati


UTARA SUMATERA, INDONESIA - Seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut dalam pertengkaran kedua-dua ibu bapanya, lapor Sumut Pos.

Dalam kejadian jam 7 petang, Khamis, di rumah mereka di Bandar Batubara, Daerah Tanjung Tiram, mangsa, Muhammad Ramadhan, 2, maut selepas ditendang bapanya, Indra, 24, sehingga terpelanting dalam jarak satu meter lebih.

Ketika kejadian, Indra dikatakan berang mendengar suara tangisan anaknya lalu memarahi isterinya, Maryamah, 23, yang akhirnya mencetuskan pertengkaran antara pasangan berkenaan.

Gagal mengawal kemarahan, Indra melepaskan kemarahannya pada anak pertama, Muhammad Zairi, 3, dengan menendangnya sehingga terjatuh ke lantai dan mengalami luka di bahagian kening sebelah kiri. Kejadian itu menyebabkan Muhammad Ramadhan ketakutan lalu menangis.

Mendengar tangisan Ramadhan, Indra menjadi semakin berang lalu menendang anak bongsunya itu dengan kaki kanan. Tendangannya itu terkena pada rusuk kiri mangsa membuatkan mangsa terpelanting sejauh satu meter, sebelum badannya kejang dan tidak sedarkan diri.

Melihat mangsa sudah tidak sedarkan diri, Indra terus panik dan memanggil isterinya untuk cuba membangunkan mangsa. Bagaimanapun, mangsa tetap tidak memberikan sebarang respon.

Pasangan itu kemudian menjerit meminta tolong. Jiran-jiran yang terdengar suara jeritan itu terus datang ke rumah pasangan itu dan ada yang melaporkan kejadian itu pada pihak polis.

Ketua Polis Bandar Batubara, AKBP Dedy Indriyantok, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Setelah mendapat laporan itu, kita terus pergi ke tempat kejadian dan menahan suspek. Ketika ditahan, suspek tidak melawan dan menyerah dirinya. Kita sedang menyiasat sama ada suspek melakukan jenayah itu dipengaruhi dadah ataupun tidak.

"Pertengkaran pasangan itu mengakibatkan anak bongsu mereka meninggal dunia yang difahamkan berpunca dari suspek yang sebelum itu mahu makan. Tetapi tiada nasi di rumahnya. 

"Suspek akan didakwa mengikut Akta Perlindungan Kanak-Kanak dan bakal berdepan dengan hukuman penjara selama 15 tahun (maksima)," katanya.

Menurut pihak keluarga mangsa, suspek tidak berniat untuk melakukan perbuatan itu sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa anak kandungnya sendiri.

"Sudah pasti ayahnya tiada niat untuk melakukan perbuatan itu kerana sebelum ini dia sempat bersihkan anaknya yang buat air besar," kata lelaki yang enggan didedahkan namanya itu.

Pihak keluarga juga kesal, polis terlalu cepat dalam mengambil keputusan untuk menahan bapa mangsa.

"Pihak keluarga sudah memohon agar polis biarkan ayahnya melihat anaknya dikebumikan dulu atau sehingga proses pengebumian selesai. Tetapi permohonan kami tidak diendahkan dan memberikan alasan menahan suspek demi keselamatan.

"Selama ini ayahnya baik. Ketika kejadian, ayah mangsa baru saja selesai solat maghrib dan terdengar anaknya menangis. Dia kesal isterinya tidak mampu menjaga anaknya ketika dia sedang bersolat dan akhirnya dia melepaskan kemarahannya itu kepada anak dan menendangnya sehingga tidak sedarkan diri sebelum disahkan telah meninggal dunia," jelasnya. - The Reporter

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...