Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi baru sahaja membuat 'tawaran hebat' bagi malam terakhir berkempen sempena hari mengundi esok sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Kepada semua golongan muda belia negara yang berumur 26 tahun dan ke bawah, kita akan berikan pengecualian cukai pendapatan bermula dari tahun taksiran 2017 dan tahun-tahun berikutnya dengan serta-merta.
"Ini sekali gus bermakna, bagi cukai pendapatan yang telah pun dibayar pada tahun sebelumnya akan dikembalikan semula kepada mereka. Jika Barisan Nasional diberi mandat!" tulisnya.
Najib yang yakin bahawa Barisan Nasional (BN) akan menang esok juga terdahulu mengumumkan cuti peristiwa khas selama dua hari sebagai tanda berterima kasih kepada rakyat yang memberi mandat kepada BN.
"Sebagai tanda terima kasih, sukacitanya Kerajaan Barisan Nasional yang akan menang nanti, mengumumkan cuti peristiwa khas selama dua hari berturut-turut iaitu pada 14 dan 15 Mei 2018 yakni hari Isnin dan Selasa hadapan," tulisnya.
Katanya lagi, sekiranya BN diberi mandat esok, beliau akan mengumumkan tol percuma bagi pengguna lebuh raya selama lima hari sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018.
"Untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 2018 ini, saya akan mengumumkan tidak ada sebarang bayaran tol yang akan dikenakan atau tol percuma kepada para pengguna lebuhraya di seluruh negara bagi dua hari sebelum hari raya dan tiga hari iaitu Hari Raya pertama, Hari Raya kedua dan Hari Raya ketiga (jumlah lima hari) jika Barisan Nasional diberi mandat!" tulisnya.