PUSAT kaji selidik Merdeka Center menjangkakan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekali gus kekal memerintah.
Menurut Merdeka Center dalam satu kenyataan hari ini, jangkaan itu berdasarkan kaji selidik yang dijalankan ke atas seramai 1,579 pengundi berdaftar membabitkan 70 kerusi marginal di Semenanjung Malaysia pada 28 April hingga 8 Mei.
Dalam kajian itu, tiga isu utama diberi tumpuan berkisar isu kebimbangan ekonomi, tadbir urus yang baik (rasuah) dan kelemahan kepemimpinan.
Dapatan menunjukkan, hanya 43 peratus responden meluahkan kebimbangan mereka terhadap isu ekonomi negara di bawah pengurusan Kerajaan BN.
Selain itu, hanya 21 peratus responden berpendapat Kerajaan BN mengamalkan rasuah dalam urus tadbir, disusuli lapan peratus responden berpendapat bahawa Kerajaan BN mempunyai kelemahan dalam kepemimpinan.
Sumber: Harian Metro