Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru rakyat menolak Pakatan Harapan (PH) yang disertai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kerana negara akan berada dalam keadaan bahaya jika pakatan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini, lapor Berita Harian.
Alasan Hadi, PH tidak meletakkan Islam sebagai teras utama untuk mentadbir negara dan keadaan itu diburukkan lagi dengan sikap rakan sekutunya, DAP, yang didakwa akan melakukan apa sahaja untuk melemahkan orang Islam.
Hati juga berkata, rakyat mahukan orang Islam memerintah negara ini dan tidak rela dijajah oleh DAP yang akan menjadi 'mastermind' jika PH berjaya membentuk kerajaan pusat pada PRU14 ini.
"Dr Mahathir tidak meletakkan Islam dalam perjuangan parti berkenaan, sebaliknya bersekongkol dengan DAP dan parti Melayu tajaan DAP iaitu Parti Amanah Negara (PAN)
"Buat apa pilih Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, sedangkan sepanjang 22 tahun menjadi pemimpin negara, beliau banyak menimbulkan masalah kepada rakyat," katanya ketika berceramah di PDM Kampung Cerang Meliling, dekat sini, petang tadi.
Tidak cukup dengan itu, Hadi menambah, Mahathir juga telah menarik royalti minyak Kerajaan Terengganu yang ketika itu diperintah oleh PAS, selain banyak meninggalkan yang wajib, sebaliknya mengamalkan perkara sunat dalam pentadbiran negara.
Oleh yang demikian, Hadi menjangkakan rakyat akan rugi jika memilih PH yang dipimpin oleh Mahathir untuk memerintah negara.
Dalam pada itu, Hadi menegaskan PAS tidak akan menyertai mana-mana parti politik termasuk Barisan Nasional (BN) di PRU14 ini kerana PAS kini mengamalkan politik matang dan tidak agresif seperti sebelum ini kerana golongan pemimpin agresif telah meninggalkan PAS.
Sumber: Berita Harian