Seorang pelakon wanita yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Burhanuddin Helmi, jam 11.45 pagi tadi ditahan polis susulan penemuan enam bungkusan kertas aluminium berisi 53 pil eramin 5 dalam beg tangannya, lapor Berita Harian.
Kenderaan Range Rover yang dipandu pelakon terbabit terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda BRV pagi tadi dan sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sebelum pemilikan dadah itu terbongkar, kenderaan mewah jenis Range Rover dipandunya terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan Honda BRV.
"Sepasukan anggota polis yang dikejarkan ke lokasi kemalangan mendapati pelakon terbabit berada dalam keadaan mencurigakan," katanya sumber.
Pelakon terbabit berusia 26 tahun itu kemudian dibawa ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail untuk pemeriksaan lanjut.
Pemeriksaan rapi yang dilakukan terhadap pelakon terbabit menemui 53 pil eramin 5 yang dianggarkan seberat 14.73 gram dalam beg tangan miliknya.
"Susulan penemuan itu, kakak kepada dua pelakon popular itu diarah menjalani ujian kencing namun saringan awal yang dijalankan mendapati ia negatif dadah.
"Namun, dia kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya dan akan dihadapkan ke mahkamah majistret esok untuk proses tahanan reman," katanya.
Sementara itu di media sosial, netizen mendakwa pelakon wanita berkenaan mempunyai 2 juta lebih pengikut di laman Instagram. Semakan di Instagramnya mendapati, netizen sedang giat meninggalkan komen di post terkini pelakon berkenaan.