The Reporter

(Video) Wanita guna telefon bimbit ketika melintas jalan maut dirempuh


Padah melintas jalan sambil menggunakan telefon bimbit, seorang wanita dirempuh kereta sehingga melambung di udara sebelum terhempas di jalan raya. 

Dalam kejadian yang berlaku pada 12 Mei 2017, di Chonburi, Thailand, video rakaman dashcam yang viral semula di media sosial menunjukkan mangsa, Sudchada Bureepia, 40, dirempuh sebuah kereta jenis MPV di lorong kanan. 

Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami keretakan pada tempurung kepala dan dikejarkan terus ke Hospital Phyathai Sriracha. Namun doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia. 

Suami mangsa, Prasong, berkata, isterinya baru saja menghantar anak perempuan mereka ke hospital sebelum pulang ke rumah berjalan kaki. 

Pemandu MPV yang merempuh mangsa berkata, dia tidak menyedari kehadiran mangsa yang muncul secara tiba-tiba dari sebelah kiri. Pemandu itu didakwa di mahkamah atas kecuaian memandu sehingga menyebabkan kematian. 


Video kejadian yang berlaku pada tahun 2017 itu kembali viral semula di media sosial bagi memperingatkan pejalan kaki agar berhati-hati apabila melintas jalan. Selain itu, para pemandu juga dinasihatkan peka dengan kehadiran pejalan kaki. 

Prasong berkata, dia tidak menjangkakan isterinya akan pergi dulu dan kini dia risau bagaimana mahu menyara dua orang anaknya. Walaupun begitu, Prasong tidak menyalahkan pemandu yang melanggar isterinya dan menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan telefon bimbit ketika melintas jalan. 

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...