The Reporter

'Kalau saya tahu itu dadah, saya takkan buat' - Pramugari Malindo Air seludup dadah bernilai jutaan dolar ke Australia dipenjara 9 tahun 6 bulan

Seorang pramugari dari syarikat penerbangan Malindo Air yang menggunakan seluar dalam untuk menyeludup dadah heroin bernilai jutaan dolar masuk ke Australia bagi sindiket dadah antarabangsa akan 'tinggal' di penjara bagi tempoh yang lama. 


Zailee Zainal, 40, menangis ketika mendengar keputusan mahkamah pada Khamis (8/10/2020) yang menjatuhkan hukuman penjara 9 tahun 6 bulan di atas perbuatannya itu yang berjaya dikesan oleh Australian Border Force pada 2019. 


Ketika membaca keputusan pengadilan, Hakim Michael Cahill berkata, ibu kepada tiga anak itu melakukan jenayah tersebut kerana dia terdesak mahu mencari wang untuk membiayai kos perubatan anak perempuannya. 


"Dalam menjatuhkan hukuman, tidak ada belas kasihan kepada pesalah walaupun keputusan yang dibuat adalah atas desakan hidup," katanya. 


Ketika dibicarakan, Zailee yang bekerja dengan Malindo Air mengakui dia direkrut oleh sindiket dadah yang mengetahui dia dalam keadaan terdesak untuk membiayai kos perubatan anak perempuannya. 


Bagi menambahkan pendapatan, Zailee cuba melakukan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual brownies dan Tupperware. Tetapi usahanya itu tidak begitu memberangsangkan.


Zailee juga pernah meminta syarikat penerbanganya untuk menghebahkan berita kesukarannya itu untuk mendapatkan bantuan. 


Selepas berita mengenai kesusahan Zailee itu dihebahkan melalui emel yang dibuat oleh syarikat penerbangan itu, datang seorang individu yang dianggapnya sebagai 'kawan' menawarkan diri untuk membantu. 


Dalam keadaan yang amat terdesak, sindiket itu tahu yang Zailee sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk anaknya.


Sebagai permulaan, Zailee mengatakan dia diarahkan untuk menjalani latihan sebagai pembawa ubat, bagaimana berbicara menggunakan kod tertentu seperti 'tiket' yang merujuk kepada ubat yang diseludup dan berjalan dengan bungkusan ubat yang diikat pada kakinya dan sebahagian lain disorok dalam pakaian dalam termasuk seluar dalam. 


Antara Oktober 2018 dan Januari 2019, Zailee telah membuat lapan perjalanan dan menyeludup lebih dari 4 kilogram dadah jenis kokain yang bernilai kira-kira 3 juta dolar. 


Sebaik saja mendarat di Australia, Zailee akan pergi ke hotel untuk menukar dadah itu kepada wang tunai di dalam tandas. 


Zailee akan menerima $6,500 (RM27,000) yang kini menyebabkan dia dipenjara. 


Ketika ditahan di Lapangan Terbang Melbourne, pihak berkuasa berjaya merampas lima paket heroin yang ditemui di badannya. Namun Zailee memberitahu pegawai penyiasat yang dia menyangka dia diarahkan membawa ganja. 


"Saya dapat rasakan isi kandungannya adalah dadah, tetapi saya cuba yakinkan diri ianya bukan. Kalau saya tahu isi kandungannya adalah heroin, saya takkan buat kerja ini dari awal lagi," katanya. 


Keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara hampir sedekad itu memberikan kesan yang amat mendalam kepada keluarga Zailee. Suaminya yang juga seorang pramugara, tidak dapat bekerja semenjak penularan wabak Covid-19. 


Mahkamah dimaklumkan, Zailee juga dihubungi oleh anak-anaknya ketika berada di penjara dan dia juga menolong mereka membuat kerja sekolah. 


Difahamkan, Zailee yang kini menjalani hukuman di penjara sedang berusaha membuat rayuan agar dapat pulang dan menjalani hukuman di Malaysia. 


Sumber: ABC, Sinar Plus

About apeyangmenarik

Powered by Blogger.
loading...