Video tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki dikejar anggota polis trafik, mengundang pelbagai reaksi netizen.
Lapor Berita Harian, lelaki terbabit sebenarnya cuba meloloskan diri daripada ditahan polis dan kejadian itu berlaku berhampiran Kampung Gaung, Pasir Mas, Kelantan, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kejadian berlaku pada jam 1 tengah hari dan lelaki berusia 20-an itu bersama dua lagi rakannya yang menaiki kereta Proton Persona diarahkan untuk berhenti bagi menjalani pemeriksaan mengejut.
Ketiga-tiga suspek berusia 21 hingga 37 tahun itu pada awalnya memberi kerjasama. Tetapi setelah diarahkan ke bahu jalan, kenderaan itu terus memecut dan seorangg lagi suspek melarikan diri ke dalam semak berhampiran.
Bagaimanapun, suspek berusia 37 tahun berjaya ditahan dan dibawa ke IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut. Manakala dua lagi suspek yang bolos sedang giat dikesan.
Siasatan awal mendapati, suspek yang terbabit dalam kejadian itu adalah Mohamad Afiq Saiedi (pemandu), 21, dan suspek yang melarikan diri sambil dikejar polis dikenali sebagai Mohd Naim Azmi, menetap di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah.
Ujian saringan air kencing terhadap suspek berusia 37 tahun didapati positif dadah jenis Methaphetamine, selain mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) akta Polis.
Sumber: Berita Harian