Ahad lalu, pengendali laman Facebook Malaysia Pun memuat naik gambar poster acara Thai Hot Guy yang bakal diadakan pada 30 Mac ini bertempat di sebuah restoran bersempena pembukaan kelab hiburan, Privacy Club, di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Penganjuran acara menjelikkan lagi tidak bermoral itu diselar oleh pengguna media sosial dan beberapa pemimpin politik kerana ia bukan sahaja mencemarkan bulan Ramadan akan datang, malah bercanggahan dengan budaya masyarakat di negara ini.
Berdasarkan gambar poster, terpampang jelas sekumpulan lelaki berpakaian wanita yang ditugaskan untuk melayan pelanggan wanita pada hari acara itu kelak.
Lebih teruk lagi, pengendali Facebook Malaysia Pub menggalakkan golongan wanita yang sudah berkahwin untuk datang memeriahkan suasana biarpun terpaksa meninggalkan suami bersendirian di rumah.
"Anda mahu dikelilingi sekumpulan lelaki kacak dan tinggi berpakaian seksi? Kemudian bergelek di depan anda? Tak perlu pergi ke Thailand dan inilah peluang anda!
"Cepat dan buat temujanji dengan kawan baik anda. Tinggalkan teman lelaki dan suami anda di rumah. Alami pengalaman berkasih sayang dan berseronok dengan lelaki sado. Mereka sedang menunggu anda. Kali ini sahaja dan anda tidak akan menyesal!" tulis Malaysia Pub pada kapsyen hantaran itu.
Bagaimanapun, semakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati restoran tersebut beroperasi tanpa lesen sejak 2021. Premis itu juga tidak mempunyai lesen hiburan, apatah lagi tidak membuat sebarang permohonan untuk menganjurkan sebarang aktiviti hiburan.
Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu dan DBKL kini sedang dalam proses untuk mengambil tindakan terhadap penganjur acara tidak bermoral tersebut.
Sumber: Facebook Malaysia PUB, MalaysiaKini